Wednesday, 16 September 2020

Pandangan sekolah kebangsaan terlalu Islamik tidak betul - NUTP



KUALA LUMPUR: Salah faham mengenai amalan, sambutan dan majlis diraikan pelajar-pelajar Melayu dan Islam di sekolah kebangsaan menjadi punca segelintir ibu bapa bukan Islam melabel sekolah berkenaan sebagai terlalu Islamik.


Amalan kebiasaan tersebut seperti bacaan doa ketika menghadapi peperiksaan, sambutan Awal Muharam, Maulidur Rasul dan Hari Raya Aidilfitri selain pertandingan nasyid, bacaan al-Quran serta bercerita kisah-kisah nabi.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, masyarakat perlu memahami sistem pendidikan sekolah kebangsaan agar tidak wujud masalah sehingga menjejaskan kredibiliti falsafah pendidikan yang dirangka Kementerian Pendidikan.


“Bagi saya, tidak betul pandangan terlalu Islamik dilontarkan kepada sekolah kebangsaan. Kementerian Pendidikan sentiasa relevan dan mengikuti perkembangan semasa terutamanya memantapkan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi mencapai misi Revolusi Perindustrian 4.0.


“Banyak program dirancang ke arah mencapai falsafah pendidikan yang seimbang dalam aspek jasmani, rohani dan intelek,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.


Beliau mengulas kenyataan tiga aktivis yang menyifatkan sekolah kebangsaan sebagai tidak fokus kepada pendidikan sebaliknya terlalu Islamik sehingga mengabaikan pengetahuan dalam mata pelajaran sains dan teknologi.


Kenyataan itu dibuat menerusi sesi debat bertajuk Suara Gerak Independent: The Vernacular School Debate anjuran Maju Foundation yang diasaskan peguam dan aktivis, Siti Kasim.


Dalam debat itu, Arun Doraisamy, Phun Teck Seng dan Sam Saad berpandangan sama dan menyimpulkan bahawa sekolah kebangsaan sangat menekankan aspek keagamaan berbanding sekolah vernakular yang menekankan bahasa ibunda, perpaduan dan pengetahuan.


Aminuddin berkata, sekalipun ada yang menyifatkan sekolah kebangsaan bersikap terlalu mengangkat nilai keagamaan tetapi ia bukan cerminan sistem pendidikan negara.


“Mungkin ramai yang beranggapan sambutan Maulidur Rasul, pertandingan membaca al-Quran, nasyid dan majlis bacaan Yassin di sekolah disifatkan terlalu islamik, walhal kesemua aktiviti itu hanya program yang diaturkan sekolah untuk memupuk kesejahteraan rohani dalam kalangan pelajar,” katanya.


Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom ketika dihubungi enggan mengulas isu tersebut malah usaha mendapatkan kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Mohd Radzi Md Jidin gagal panggilan telefon tidak diangkat. – UTUSAN


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon