Monday, 21 September 2020

Tiada alasan tidak faham bahasa Melayu - DBP



KUALA LUMPUR: Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi yang mesti digunakan dalam pentadbiran di semua peringkat termasuk kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa awam.


Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan, berkata Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara.


Justeru katanya, selepas 63 tahun Malaysia merdeka, tidak wajar ada alasan untuk mana-mana pihak tidak memahami bahasa negara.




Beliau berkata demikian mengulas langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan portal dalam bahasa Mandarin bagi suruhanjaya itu, kelmarin.


"SPRM sebagai badan berkuasa awam mesti menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, termasuk dalam portalnya.


"Sesudah Mandarin, adakah SPRM akan memenuhi keperluan kaum lain atas alasan tidak memahami bahasa kebangsaan?" katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


SPRM kelmarin menyatakan, portal dalam bahasa Mandarin itu dilancarkan bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya itu.


Badan itu berkata, ia diharap dapat meningkatkan lagi keyakinan dan pengetahuan masyarakat Cina terhadap SPRM serta agenda antirasuah, selain menyebar luas mesej pendidikan pencegahan rasuah.


Awang yang juga Penyandang Kursi Za'ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris, berkata langkah berkenaan dan beberapa lagi perkara lain sebelum ini memberi isyarat jelas bahawa kerajaan perlu lebih tegas dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan.


"Ini termasuk syarat kewarganegaraan dan pelaksanaan ujian bahasa kebangsaan yang membolehkan warganegara mengikuti kursus bahasa kebangsaan berdasarkan pencapaian dalam ujian itu


"Pada tahun 1960-an, ada kelas dewasa untuk celik huruf masyarakat di luar bandar dan kaedah yang sama boleh digunakan untuk kelas bahasa kebangsaan kepada masyarakat umum," katanya.


Beliau berkata, DBP sudah lama menyediakan Ujian Kecekapan Bahasa Melayu (UKBM) dan modul kursus bahasa untuk pelbagai peringkat, termasuk untuk warganegara Malaysia, selain pelajar dan pekerja asing.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon