Wednesday, 21 October 2020

COVID-19: 21 SAR di Perak ditutup

IPOH - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 21 Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Perak ditutup bermula 14 hingga 25 Oktober berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).


Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, kesemua SAR yang ditutup itu melibatkan daerah Manjung, Larut Matang dan Selama, Kerian serta Kinta.


Menurutnya, penutupan itu bertujuan untuk proses sanitasi dan pembersihan kawasan sekolah selain memberi ruang untuk proses saringan murid yang terlibat.


"Kita jangkakan mungkin ada lagi yang ditutup, namun bergantung kepada nasihat yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.


"Bagaimanapun, kita nasihatkan ibu bapa supaya jangan panik kerana ia merupakan prosedur biasa bagi menyekat penularan Covid-19 ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Menteri Besar Perak hari ini.


Menurutnya, tempoh penutupan itu bergantung kepada nasihat MKN dan Kementerian Kesihatan kerana sekiranya jangkitan terkawal, sekolah akan dibuka seperti biasa.


Dalam pada itu, Mohd Akmal berkata, selain SAR, terdapat tujuh tadika Islam yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di daerah Larut Matang dan Selama, Hulu Perak, Kerian dan Manjung turut ditutup.


Sementara itu, beliau berkata, JAIPk memperuntukkan RM1.9 juta kepada semua sekolah agama yang berdaftar di bawahnya untuk digunakan bagi tujuan pembersihan sekolah-sekolah yang terlibat.


Menurutnya, setiap sekolah telah menerima RM2,500 bagi menjalankan pembersihan dan disinfeksi.


Katanya, sebahagian sekolah yang ditutup sudah selesai menjalankan aktiviti pembersihan manakala sebahagian lagi masih dalam proses tersebut.


“Kita berharap agar sekolah-sekolah yang telah mendapat peruntukan untuk menjalankan sendiri aktiviti disinfeksi dengan mendapatkan khidmat nasihat dari Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.


"Mana-mana sekolah juga diingatkan untuk mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan menutup sekolah sekiranya perlu bagi mengekang penularan dan memudahkan aktiviti pembersihan serta disinfeksi,” katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon