Monday, 12 October 2020

COVID-19: Ibu bapa di zon hijau ada pilihan

Kuala Lumpur: Ibu bapa yang berada di zon hijau perlu membuat penilaian risiko dan dibenarkan untuk membuat surat pemakluman bagi tidak menghantar anak mereka ke sekolah sekiranya bimbang dijangkiti Covid-19.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, pihaknya sedar wujud kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai risiko anak mereka boleh dijangkiti pandemik itu berikutan peningkatan mendadak kes baharu kepada tiga digit.


"Sebenarnya, bagi ibu bapa yang berada di zon hijau mereka ada pilihan untuk tidak hantar anak ke sekolah cuma perlu hantar surat rasmi memaklumkan sebab iaitu kebimbangan risiko anak mereka dijangkiti Covid-19.


"Ini jelas, kalau mereka bimbang tidak perlu hantar dan sekolah tidak akan mengambil sebarang tindakan.


"Cuma kami berpandangan tidak perlu sekolah di zon hijau ditutup secara keseluruhan," katanya kepada Harian Metro.


Menurutnya, tidak semua sekolah mempunyai risiko yang tinggi terutama di kawasan pedalaman sekiranya langkah pencegahan dan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dipatuhi.


"Malah jelas dalam SOP KPM sekolah yang berada di zon merah akan ditutup serta-merta seperti berlaku di daerah Petaling dan seluruh negeri Sabah.


"Bagaimanapun, kami berpendapat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu diberi kuasa menutup sekolah sekiranya suasana di sesetengah sekolah mendatangkan ketidakselesaan dalam kalangan murid dan guru," katanya.


Aminuddin berkata, penilaian risiko dilakukan JPN atau PPD lebih cepat dan tepat tanpa perlu menunggu pertimbangan KPM.


"Pastinya mereka lebih mengetahui situasi di negeri dan tempat masing-masing.


"Kita minta kuasa diberikan kepada JPN atau PPD jika pada pandangan mereka ada permintaan daripada sekolah untuk ditutup berikutan kebimbangan risiko dijangkiti," katanya.


Ditanya mengenai jumlah murid tidak hadir ke sekolah kini mencecah satu juta, Aminuddin berkata, pihaknya tidak mempunyai data jumlah kehadiran berkenaan.


"Hanya KPM mempunyai data berkenaan berikutan sistem i-hadir mereka ada merekodkan kehadiran murid menerusi dalam talian," katanya.


Aminuddin turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak perlu bimbang dan melakukan penilaian risiko sendiri sekiranya tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah.


Sebanyak 298 sekolah di seluruh Petaling ditutup bermula hari ini sehingga 25 Oktober manakala di Sabah bermula 10 Oktober sehingga tarikh yang sama.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon