Friday, 23 October 2020

COVID-19: Negeri Sembilan belum cadang tutup semua sekolah - Menteri Besar

SEREMBAN: Kerajaan negeri belum bercadang untuk menutup semua sekolah di negeri ini walaupun terdapat peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini terutama membabitkan pelajar sekolah.


Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata walaupun kes positif COVID-19 mencatatkan pertambahan mendadak, setakat semalam hingga meletakkan Seremban sebagai zon merah, kerajaan negeri masih terus memantau.


"Setakat ini tidak ada keperluan untuk menutup semua sekolah di Negeri Sembilan. Keputusan ini kita ambil hasil perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas COVID-19, pagi ini.


"Hanya tiga sekolah yang diarahkan tutup baru-baru ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin, Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS) di Senawang dan SMK Datuk Undang Haji Adnan (DUHA), Rembau," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat JKKN di sini, hari ini.


Sehingga tengahari semalam, Negeri Sembilan merekodkan 38 kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,157 kes.


Daripada jumlah itu, 1,066 kes telah sembuh dan discaj manakala 83 kes yang masih menerima rawatan di wad serta kematian masih kekal lapan lapan kes.


Daerah Seremban dikategorikan sebagai zon merah berikutan Kluster Sofi yang membabitkan 38 kes positif semalam.


Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pihaknya menasihatkan semua pihak tidak perlu panik, berikutan peningkatan kes COVID-19 walaupun terdapat kawasan yang dikategorikan zon merah.


"Kes positif COVID-19 hanya membabitkan sekolah di kawasan tertentu dan bukannya menyeluruh, ia masih terkawal.


"Kita (kerajaan negeri) akan terus memantau, namun apa yang penting rakyat perlu mematuhi peraturan dan mengamalkan normba baharu dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan," katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon