Tuesday, 20 October 2020

COVID-19: Sebuah lagi sekolah di Ipoh diarah tutup

BAGAN SERAI: Sebuah lagi sekolah di Perak ditutup hari ini, manakala penutupan Sekolah Kebangsaan (SK) Lekir, Sitiawan, dilanjutkan sehingga 26 Oktober.


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil, Razman Zakaria, berkata Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Haji Mohd Taib, Chemor ditutup pagi ini susulan pengesanan satu kes positif COVID-19 membabitkan seorang pelajar.


"Seorang pelajar di sekolah itu dikesan positif, membawa kepada arahan penutupannya, manakala di SK Lekir, penutupan sekolah itu dilanjutkan sehingga 26 Oktober berikutan pihak sekolah mengesan masih ada kes membabitkan kontak rapat.


"Lanjutan penutupan itu dibuat bagi proses nyah kuman atau sanitasi," katanya selepas meninjau projek membaik pulih dan pelebaran jalan di lima lokasi di Gunung Semanggol bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Kerian.


Ditanya mengenai kebimbangan ibu bapa mengenai penularan wabak COVID-19 di sekolah, Razman menegaskan ibu bapa tidak perlu panik malah tiada keperluan untuk memendekkan baki tempoh persekolahan pada tahun ini berikutan hanya beberapa sekolah sahaja yang merekodkan kes positif.


"Di Perak kita ada lebih 1,000 sekolah namun hanya beberapa sekolah sahaja yang terpaksa ditutup.


"Justeru tiada keperluan untuk memendekkan tempoh baki persekolahan bagi sesi tahun 2020 dan juga tiada perubahan dasar dibuat di peringkat kementerian," katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon