Wednesday, 7 October 2020

Guru jual makanan kepada murid boleh kena tatatertib, buang kerja - NUTP

Imej hiasan via NSTP

KUALA LUMPUR: Guru yang berniaga termasuk menjual makanan kepada murid dan pelajar di sekolah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja sekiranya didapati bersalah.


Ia tertakluk dalam perintah am perjawatan yang melarang mereka menjalankan perniagaan sewaktu sedang bekerja.


Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock, berkata guru sekolah tidak boleh menjalankan perniagaan dalam waktu persekolahan.


Katanya, perbuatan menjual makanan untuk dibekalkan kepada murid tidak sepatutnya berlaku dan perlu ditangani kerana ia bukan kerja hakiki seorang guru.


"Saya minta pihak yang mempunyai asas terhadap perkara ini supaya melaporkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tindakan lanjut," katanya kepada BH.


Sementara itu, semakan BH mendapati tindakan guru yang menjual makanan kepada pelajar dengan alasan permintaan ibu-bapa atau sebagai bekalan bernutrisi tetap dianggap melakukan kesalahan kerana ia di luar tugasan rasminya.


Berdasarkan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang dinyatakan dalam Peraturan 5: Pekerjaan Luar, Ketua Jabatan boleh meluluskan permohonan dengan syarat, ia tidak dilakukan dalam waktu pejabat dan semasa dikehendaki menjalankan tugas rasminya, tidak menjejaskan kebergunaan pegawai sebagai penjawat awam serta tidak bercanggah dengan kepentingan jabatan.


BH hari ini melaporkan, Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) meminta kerajaan dan ibu-bapa membantu pengusaha kantin sekolah yang tersepit dengan masalah operasi dan pendapatan merosot kerana terpaksa bersaing dengan guru serta koperasi sekolah yang turut menjual makanan kepada murid ketika PKPP sedang berlangsung.


Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Hamzah Omar, dilaporkan berkata hampir 70 peratus daripada 10,000 pengusaha kantin ketika ini berdepan kesukaran kerana mereka terpaksa bersaing dengan aktiviti jualan dilakukan dalam sekolah itu sendiri.


Beliau berkata, hal itu ditambah dengan pengusaha yang kebanyakannya peniaga kecil-kecilan dibebankan dengan situasi jualan muram.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon