Friday, 30 October 2020

Guru tadika saman Ketua Polis Negara RM100 juta

KUALA LUMPUR – Guru tadika M.Indira Gandhi memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga yang lain berhubung kegagalan mengembalikan semula anak perempuan bongsunya berusia 12 tahun yang telah dilarikan oleh bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, 11 tahun lalu. 


Indira, 45, selaku plaintif memfailkan saman itu melalui Tetuan Raj & Sach melalui e-filing dengan menamakan KPN selaku defendan pertama manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan kedua hingga keempat.


Berdasarkan penyataan tuntutan, Indira, mendakwa defendan pertama iaitu Ketua Polis Negara telah dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus daripada Mahkamah Persekutuan dan telah gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan semula anak perempuan bongsu berusia 12 tahun kepadanya.


Plaintif mendakwa kesemua defendan juga mempunyai peranan dalam membuat keputusan atau memberi arahan kepada PDRM, selaku defendan kedua bagi melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya itu yang sebelum ini dikenali sebagai K. Patmanathan, 51, sepertimana diperintahkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016.


Dakwa plaintif, defendan pertama juga enggan menangkap Patmanathan walaupun mengetahui lokasi lelaki terbabit.


Menurut Indira, pada 10 April 1993 beliau telah berkahwin dengan Patmanathan dan mempunyai tiga orang anak hasil daripada perkahwinan berkenaan.Ketiga-tiga anak plaintif kini berusia 12, 22 dan 23 tahun.


Bagaimanapun, wanita itu berkata pada 11 Mac 2009, Patmanathan telah bertukar agama kepada agama Islam dan turut menukar agama tiga anak mereka kepada agama Islam selain lelaki itu juga turut mendapat perintah jagaan kesemua anak mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada 29 September 2009.


Menurut plaintif, beliau kemudiannya memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Sivil di Ipoh bagi mendapatkan hak penjagaan ketiga-tiga anak mereka dan permohonannya dibenarkan oleh mahkamah pada 11 Mac 2010.


Bagaimanapun, Indira berkata selepas mendapat perintah jagaan bagi ketiga-tiga anaknya, anak bongsu mereka iaitu Prasana telah diambil secara paksa oleh Patmananthan.


Pasangan itu kemudian telah bercerai pada 8 Ogos 2012.


Wanita itu berkata pada 30 Mei 2014, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan Patmanathan dipenjarakan sehingga beliau memulangkan anak bongsu mereka kepada plaintif.


Pada masa sama satu semakan kehakiman difailkan olehnya di mahkamah sama bagi mendapatkan perintah mandamus supaya defendan pertama menguatkuasa perintah komital terhadap Patmanathan.


Indira berkata, Mahkamah Tinggi Ipoh pada 12 September 2014 membenarkan permohonannya namun Mahkamah Rayuan kemudiannya menolak keputusan Mahkamah Tinggi itu.


Kata Indira, pada 29 April 2016 Mahkamah Persekutuan telah memutuskan supaya Patmanathan perlu ditangkap untuk menghadapi keadilan dan waran komital perlu dilaksanakan terhadap lelaki itu dan kuasa melaksanakannya adalah terletak pada defendan kedua.


Berikutan itu, plaintif antara lain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan serta faedah selain memohon deklarasi bahawa defendan pertama telah melakukan tort nonfeasance (kegagalan untuk bertindak) di pejabat awam dan defendan kedua, ketiga dan keempat bertanggungjawab secara vikarius bagi tort nonfeasance yang dilakukan oleh defendan pertama.


Sementara itu, peguam Rajesh Nagarajan, yang mewakili plaintif ketika dihubungi memaklumkan bahawa anak guamnya akan menuntut RM100 juta ganti rugi berhubung saman berkenaan. -K!ONLINE


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon