Thursday, 8 October 2020

Kes buli murid, polis buka kertas siasatan

Tangkap layar klip video kes buli
 seorang murid di sebuah kawasan
perumahan di Bukit Jalil, Isnin lalu.

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas siasatan berkenaan kejadian buli melibatkan tiga murid sekolah di sebuah kawasan perumahan di Bukit Jalil, di sini, Isnin lalu.


Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibuka selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu kira-kira pukul 11.50 pagi semalam.


Katanya, pengadu yang juga mangsa iaitu seorang murid berusia 15 tahun telah membuat laporan di Balai Polis Bukit Jalil.


“Berdasarkan laporan mangsa, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 5 petang Isnin lalu. Sewaktu kejadian dia telah didatangi dua lelaki yang dikenalinya berusia 14 dan 15 tahun.


“Berlaku selisih faham di antara pengadu dengan suspek. Pengadu kemudiannya telah dipukul menggunakan tangan dan kaki oleh kedua-dua suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Mohamed Mokhsein berkata, kejadian tersebut telah dirakam oleh seorang individu, bagaimanapun telah dileraikan oleh seorang wanita yang kebetulan lalu di kawasan terbabit.


Klip video berkaitan kejadian buli itu telah tular di laman Facebook sejak ia dimuat naik petang semalam.


Setakat pukul 2 petang tadi, klip video tersebut telah ditonton lebih 254,000 kali dan telah dikongsi lebih 5,200 pengguna.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon