Saturday, 24 October 2020

Masa yang paling sesuai untuk murid dan guru kembali gunakan buku teks

Imej hiasan

SEKOLAH kembali ditutup dan aktiviti pembelajaran secara bersemuka terhenti. Dengan pandemik terus membelenggu kehidupan kita, seolah-olah tiada titik akhir, entah berapa lama dan berapa kali lagi institusi pembelajaran akan ditutup.


Mungkin inilah norma baharu harus kita jalani dan terima sebagai sebahagian kehidupan. Namun, terima kasih kepada kecanggihan teknologi, sebahagian sesi pembelajaran boleh diadakan secara dalam talian.


Namun, tidak semua pelajar akan menikmati manfaat dan mendapat akses sama kepada ilmu melalui dalam talian ini. Masih ada terpaksa dikekang akses internet terbatas, bilangan peranti terhad dan berkongsi bersama ahli keluarga lain, selain peranti tidak menyokong paparan kandungan di laman web serta aplikasi telefon pintar.


Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), John F Kennedy pernah berkata: "Tidak semua orang mempunyai keupayaan sama, namun semua orang patut mempunyai akses sama kepada pendidikan."


Justeru, inilah waktunya kita kembali kepada hal asas dan melihat betapa besarnya peranan boleh dimainkan buku teks dalam memberikan akses pendidikan untuk semua pada era pandemik ini.


Buku teks menawarkan kaedah pembelajaran mudah. Arahan dan bimbingan guru contohnya boleh disampaikan secara mudah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tidak memerlukan sambungan internet atau nota suara menerusi aplikasi media sosial serta penggunaan yang tinggi.


Pada masa sama, buku teks berfungsi sebagai pusat sehenti yang pelbagai kemahiran berkaitan subjek boleh diakses daripada satu sumber sama. Ini sudah tentu berbeza dengan pengalaman pembelajaran menerusi internet yang selalunya memerlukan pelajar berpindah daripada aplikasi berlainan.


Contohnya, mereka mungkin akan menerima arahan guru menerusi Google Classroom, sebelum melayari laman web seperti YouTube untuk menonton video penerangan dan aplikasi lain untuk menyiapkan latihan pengukuhan.


Selain itu, guru juga boleh lebih fokus kandungan sesi pembelajaran tanpa perlu menghabiskan masa terlebih dahulu mengajar bagaimana sesebuah aplikasi atau laman web berkaitan pendidikan boleh digunakan pelajar serta menyelesaikan masalah teknikal dihadapi mereka.


Buku teks juga meminimumkan kos pembelajaran. Seperti kita maklum, buku teks di negara ini disediakan percuma oleh kerajaan setiap awal tahun persekolahan, manakala ibu bapa tidak perlu mengeluarkan kos untuk membeli sebarang jenis peranti mengakses buku teks.


Selain mengawal perbelanjaan bagi pembelian data internet, ia juga dapat mengurangkan keluhan ibu bapa yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk membeli dakwat dan kertas untuk mencetak aktiviti pembelajaran dibekalkan guru secara dalam talian.


Situasi ini pastinya dapat membantu keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai banyak tanggungan yang terkesan secara ekonomi kerana pandemik serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Namun lebih penting lagi, buku teks menyediakan kandungan pembelajaran seragam, jelas dan dipercayai berbanding kandungan pembelajaran di internet. Buku teks tentunya disediakan mengikut kandungan kurikulum serta sukatan pelajaran ditentukan orang berpengalaman. Ia juga melalui proses tapisan dan verifikasi ketat pakar sebelum digunakan guru dan pelajar di sekolah.


Ini sudah tentulah bertolak belakang dengan kandungan aktiviti pembelajaran dalam laman web dan aplikasi telefon pintar.


Kandungan ini mungkin mempunyai kelebihan dari segi kuantiti, mudah dicapai, serta interaktif tetapi ia mungkin mengundang kekeliruan pelajar, tidak disusun mengikut tingkat kemahiran pelajar sepatutnya dan dihasilkan pihak yang tidak mempunyai kecekapan dalam bidang mereka.


Lebih bahaya, kandungan pembelajaran tidak dikawal di internet juga mungkin mempromosi elemen tidak sihat berlawanan norma kehidupan masyarakat di negara ini. Ia bakal memberikan impak tidak sepatutnya kepada pelajar, apatah lagi dengan ketiadaan guru untuk memberi penjelasan dan bimbingan sewajarnya.


Inilah masanya untuk pihak terbabit memperkasakan penerbitan buku teks untuk membantu pembelajaran di rumah. Contohnya, arahan dalam buku teks mungkin boleh diringkaskan dan kandungannya dapat dipecahkan kepada unit lebih kecil untuk memudahkan pemahaman.


Panduan untuk ibu bapa juga boleh disediakan untuk membantu mereka membimbing anak di rumah. Lebih penting, kandungannya haruslah relevan dengan situasi pada era pandemik ini yang pelajaran berkaitan kesihatan mental dan fizikal serta kepedulian terhadap komuniti dan orang di sekeliling haruslah diberikan penekanan khusus, selaras norma baharu.


Buku teks memang terlihat sederhana. Dari segi luaran, ia tidak terlihat moden, canggih atau interaktif seperti aplikasi pendidikan di alam maya. Namun, ia menawarkan kaedah pembelajaran mudah dan murah serta kandungan tidak perlu diragui.


Lebih penting lagi, ia memberikan akses pendidikan untuk semua, selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.


Mungkin hal ini sederhana tetapi memberi manfaat kepada semua yang patut menjadi keutamaan pada waktu pandemik daripada hal gah dan hebat yang memberi impak buat segelintir sahaja.


Mohamad Syafiq Ya Shak Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon