Sunday, 11 October 2020

Pelajar luar bandar sukar ulang kaji secara dalam talian

BALING: Ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling yang tinggal di luar bandar mengakui tidak dapat menyediakan peralatan pembelajaran dalam talian susulan penutupan sekolah itu bermula hari ini, berikutan penularan COVID-19.


Bapa kepada pelajar Tingkatan Satu, Hamdan Ramli, 58, berkata rumahnya di Kampung Charok Nau tidak mempunyai liputan telekomunikasi yang stabil, malah untuk membuat panggilan telefon ada kalanya sukar.


"Keadaan ini memang merisaukan kerana anak hanya dapat mengulang kaji pelajaran di rumah menggunakan buku teks sahaja kerana kesukaran mendapat liputan internet.


"Saya pula hanya bekerja kampung, memang tidak mampu dari segi kewangan apatah lagi bagi mendapatkan perkhidmatan internet yang stabil," katanya ketika ditemui hari ini.


Perkara sama turut dikongsi Abdullah Awang Kechik, 45, yang berharap pihak sekolah dapat melakukan sesuatu yang membantu anaknya yang belajar di Tingkatan Tiga.


"Belajar dalam talian hanya sesuai di bandar sahaja, kami di luar bandar agak sukar kerana hanya di pekan Baling sahaja liputan internetnya boleh didapati dengan mudah.


"Anak pula tidak dibenarkan keluar kerana perlu menjalani proses kuarantin rumah, jadi harap kepada buku rujukan dan latihan sahaja sementara tunggu sekolah dibuka semula," katanya.


Bagi Faris Irwan Nor Azmi, 18, berkata ketika ini kelasnya sedang membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang semakin hampir.


"Penutupan sekolah akibat COVID-19 sedikit sebanyak menjejaskan persiapan yang dibuat guru selain agak sukar bagi semua pelajar mengikuti kelas secara dalam talian sepanjang tempoh dua minggu ini.


"Saya hanya mengulang kaji menggunakan buku rujukan dan membuat latihan biasa sahaja," katanya.


Selain SMK Baling, dua lagi sekolah di Kedah ditutup iaitu SMK Bukit Payong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pak Kiau di Pokok Sena, bermula hari ini sehingga 17 Oktober depan.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon