Sunday, 11 October 2020

PIBG tiada hak desak pentadbiran sekolah tukar guru ke sekolah lain

Imej hiasan

Acapkali kita mendengar PIBG menjadi batu loncatan kepada beberapa individu di sekolah, sama ada pentadbir atau guru itu sendiri untuk mendesak perkara-perkara yang berkaitan perkhidmatan dan pentadbiran di sesebuah sekolah.


Persoalannya, bolehkan PIBG bertindak sedemikian?


Dato' Hazizah Kassim, Penulis Literasi Undang-Undang Untukmu Guru dalam salah satu koleksi video beliau merungkaikan perkara ini dari sudut perundangan melalui surat pekeliling yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.



Di dalam video tersebut, Dato Hazizah menjelaskan beberapa batasan-batasan kuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru  (PIBG) di sekolah mengikut undang-undang seperti mana yang telah digariskan di dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 5 Tahun 2001.


"Sebagai ibu bapa, kita harus bijaksana dalam memberi teguran dan cadangan kepada pihak sekolah mengikut had-had yang telah ditetapkan oleh undang-undang.


"Yang pertama, PIBG tidak boleh meluaskan kuasa kepada pentadbiran sekolah, pekerjaan dan perkhidmatan kakitangan sekolah. Ini bermaksud, ibu bapa tidak boleh menjadikan PIBG sebagai satu medium pendesak untuk menukarkan guru ke sekolah lain atau perkara-perkara yang melibatkan skop kerja guru seperti tugas guru selepas waktu sekolah," jelas beliau.


Perkara kedua pula yang dibincangkan oleh beliau adalah PIBG tidak boleh menjadi jentera bagi menyelesaikan pertikaian yang berkaitan antara persatuan dengan guru besar, pengetua, PPD dan lain-lain. 


Halangan ini wujud kerana PIBG diwujudkan secara terfokus dengan matlamat yang jelas.


"Yang ketiga, PIBG tidak boleh menjadi platform politik atau bagi tujuan kepentingan peribadi. 


"Ini jelas kerana dikhuatiri matlamat asal PIBG untuk membantu dan meningkat pencapaian akademik dan kebajikan murid itu akan terpesong dan terjejas," jelasnya lagi.


"Yang keempat, PIBG adalah satu institusi yang tidak mempunyak legal entitiy ataupun entiti perundangan.


"Ini bermaksud PIBG tidak boleh memasuki kontrak di antara mana-mana pihak," jelasnya lagi.


Perkara kelima pula, PIBG tidak boleh bergabung dengan PIBG sekolah lain, parti politik atau NGO di luar. Menurut beliau lagi, walaupun kita diberikan hak untuk bersuara, tetapi masih tertakluk kepada di dalam ruang lingkup sekolah yang terlibat sahaja. Ianya tidak boleh digabungkan dengan PIBG sekolah-sekolah yang lain kerana objektif penubuhan asal adalah untuk anak-anak ahli PIBG sekolah tersebut sahaja.


"Sebagai yang terakhir, PIBG tidak boleh memegang harta di atas namanya sendiri. Ini bermaksud apabila PIBG mempunya dana dan membeli peralatan atau harta untuk kegunaan sekolah, harta amanah tersebut mestilah diletakkan kepada kerajaan Malaysia, atau sekolah yang mewakili kerajaan Malaysia.


PIBG sebenarnya boleh menjadi medium dalam membantu sekolah di mana manfaat sebenar akan kembali kepada murid dengan penglibatan aktif ibu bapa.


Video penuh boleh ditonton di Laman FB  Literasi Undang-undang Untukmu Guru







We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon