Tuesday, 13 October 2020

PKPB: KPM benar murid asrama pulang ke rumah

Imej hiasan

KUALA LUMPUR – Ibu bapa dibenarkan mengambil anak mereka yang tinggal di asrama sekolah atau institusi pendidikan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pulang ke rumah masing-masing.


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, bagi pelajar yang ingin terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan sekolah atau institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM akan berada di bawah penjagaan warden asrama.


Menurut kenyataan itu, keperluan makan dan minum murid atau pelajar terbabit akan disediakan oleh pihak institusi pendidikan.


“Bagi ibu bapa atau penjaga yang hanya dapat mengambil murid atau pelajar dari asrama semasa tempoh PKPB, mereka perlulah memaklumkan kepada pihak institusi pendidikan dan seterusnya pentadbir akan mengeluarkan surat kepada ibu bapa atau penjaga.


“Ini adalah sebagai rujukan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka perlu merentas daerah untuk mengambil murid atau pelajar pulang dari asrama,” kata kenyataan itu hari ini.


KPM berkata, pembelajaran bagi pelajar sepanjang tempoh penutupan bagaimanapun perlu diberi perhatian, maka pentadbir institusi pendidikan diarah memastikan guru atau pensyarah melaksanakan pengajaran dari rumah.


Jelas KPM, manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.


Dalam pada itu, KPM memaklumkan pelajar yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang dijadualkan sepanjang tempoh PKPB perlu mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.


Terdahulu, KPM memaklumkan semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, Kolej Vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di Sabah ditutup bermula 13 Oktober 2020 hingga 26 Oktober 2020.


Kata KPM, keputusan itu melibatkan sebanyak 1,336 buah institusi dengan seramai 511,349 murid dan pelajar termasuk institusi yang telah ditutup di daerah-daerah yang dikenakan PKPB sebelum ini.


Jelas KPM, bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, semua institusi pendidikan berdaftar dengan KPM termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi dan IPG ditutup mulai 14 Oktober 2020 hingga 27 Oktober 2020.


“Penutupan ini akan melibatkan 1,088 institusi pendidikan dan 935,984 murid dan pelajar di Selangor termasuk sekolah-sekolah di mukim Klang dan Petaling yang telah ditutup lebih awal.


“Penutupan ini juga melibatkan 344 institusi pendidikan serta 254,639 murid dan pelajar di Kuala Lumpur serta 29 buah institusi pendidikan dengan 31,917 murid dan pelajar di Putrajaya,” kata kenyataan itu lagi. – K! ONLINE


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon