Sunday, 4 October 2020

PKPDB Sabah: Semua sekolah beroperasi seperti biasa kecuali di empat daerah - KPM

Imej via Astro Awani

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memaklumkan di dalam satu kenyataan media bahawa semua pejabat dan institusi pendidikan yang berdaftar dengannya di seluruh negeri Sabah akan beroperasi seperti biasa kecuali bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB).


Makluman ini disampaikan berikutan pengumuman YB Menteri Kanan Pertahanan pada 1 Oktober 2020 mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Rentas Daerah di seluruh negeri Sabah yang akan berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam, 3 Oktober sehingga 16 Oktober 2020.


"Dalam hal ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN), telah memberi kebenaran khas kepada KPM bagi membolehkan semua pegawai, guru dan kakitangan yang tinggal di luar daerah tempat bertugas menrentas sempadan daerah untuk hadir bertugas supaya institusi tidak terjejas.


"Bagi tujuan ini, Ketua Jabatan akan mengeluarkan surat arahan hadir bertugas kepada pegawai, guru dan kakitangan yang tinggal di luar daerah tempat bertugas. 


"Surat kebenaran khas juga akan dikeluarkan oleh pihak sekolah kepada murid yang tinggal di luar daerah bagi membolehkan murid merentas sempada daerah untuk hadir ke sekolah," katanya lagi.


Walau bagaimanapun, operasi institusi pendidikan di daerah Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna adalah tertakluk kepada PKPDB secara pentadbiran yang telah bermula pada 29 September hingga 12 Oktober 2020.


Ketika ini, 209 buah sekolah kerajaan dan swasta di bawah KPM di daerah terlibat telah ditutup berikut pelaksanaan PKPDB.


"KPM akan terus komited untuk memastikan semua murid tidak ketinggalan dan dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan dalam keadaan selamat sepanjang tempoh perintah kawalan rentas daerah ini.


"Sekiranya murid yang tinggal di luar daerah tidak boleh hadir ke sekolah, guru akan menyediakan akses pembelajaran kepada murid melalui kaedah pengajaran dan pembelakaran di rumah atau home-based learning mengikut kesesuaian guru dan murid," tambahnya lagi.


Kementerian itu turut memaklumkan bahawa manual pengajaran dan pembelajaran di rumah telah disediakan kepada semua peringkat sebagai rujukan dan boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon