Saturday, 3 October 2020

Sekolah hanya akan ditutup jika diarah MKN dan KKM - Timbalan Menteri

Sungai Besar: Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan beberapa perkara terutama risiko kebolehjangkitan Covid-19 kepada pelajar sekolah.


Timbalan Menteri Pendidikan I Muslimin Yahaya berkata, mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin turut membincangkan mengenai kesan wabak kepada pihak sekolah.


"Saya yakin keputusan (mesyuarat) yang diadakan ( hari ini ) berhubung penutupan beberapa sekolah yang disyorkan Kementerian Kesihatan (susulan peningkatan kes Covid-19)," katanya.


Muslimin ditemui selepas Majlis Dialog bersama peniaga di Pasar Jerami, Parit 14 Ban Kenal, di sini, semalam.


Dalam pada itu, ketika diminta mengulas berhubung penutupan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Penaga, Pulau Pinang selepas seorang guru disahkan positif Covid-19, beliau berkata, penutupan itu diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan, berkuatkuasa kelmarin.


"Mana-mana kawasan yang mempunyai peningkatan dari segi jangkitan Covid-19 akan diputuskan MKN dan Kementerian Kesihatan," katanya.


Media kelmarin melaporkan guru wanita berusia 40-an itu dilaporkan tidak sihat ketika di sekolah sebelum dia pergi mendapatkan rawatan di hospital di Kedah.


Difahamkan, guru wanita itu adalah isteri kepada seorang ahli politik di Kedah yang pergi berkempen di Sabah ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) itu, baru-baru ini.


Kira-kira 600 murid di sekolah berkenaan menjalani ujian terbabit dan mereka diarahkan kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon