Sunday, 25 October 2020

Sekolah keempat di NS murid dikesan positif Covid-19


JEMPOL – Sekolah Kebangsaan (Felda) Raja Alias 3, Bandar Seri Jempol di sini menjadi sekolah keempat di negeri ini diarahkan tutup bermula esok sehingga 31 Oktober ini apabila muridnya dikesan positif Covid-19.


Pengerusi Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek berkata, penutupan sekolah itu dibuat bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dilakukan.


Menurut beliau, guru-guru hendaklah bekerja dari rumah dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang tempoh penutupan sekolah.


Terdahulu, satu surat rasmi berhubung pemberitahuan penutupan sekolah tular di laman Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak petang tadi ekoran terdapat warga sekolah itu didakwa positif Covid-19.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan menyatakan laporan lanjut akan menyusul.


Untuk rekod, sekolah pertama yang ditutup akibat Covid-19 iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin selepas seorang pelajar tingkatan tiga sekolah itu positif Covid-19, Rabu lalu.


Ia kemudian diikuti Sekolah Tinggi Islam As Sofa di Senawang yang ditutup pada Khamis apabila 33 pelajarnya didapati positif Covid-19 pada Rabu lalu dan SMK Datuk Undang Haji Adnan juga pada hari sama.


Terbaharu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan hari ini mengeluarkan arahan penutupan keseluruhan 177 institusi pendidikan di zon merah Seremban bermula 25 Oktober hingga 9 November ini.


Bermula semalam, Seremban telah dikenal pasti sebagai zon merah melalui peningkatan kes di Mukim Ampangan melalui Kluster Sofi dan terkini di Mukim Labu melalui Kluster Kaya dengan jumlah keseluruhan kes di daerah berkenaan sebanyak 179 kes.


Arahan itu membabitkan sekolah rendah dan menengah di bawah KPM, institusi pendidikan guru serta sekolah swasta yang berdaftar di bawah KPM.


Negeri Sembilan mencatatkan 96 kes baru positif Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 1,290 kes. Daripada jumlah kes baharu itu sebanyak 54 kes merupakan kluster baharu iaitu, Kluster Kaya, satu saringan Kluster Auto dan 41 kes saringan Kluster Sofi. -K! ONLINE


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon