Wednesday, 21 October 2020

Semua aktiviti sukan, kokurikulum, seminar, bengkel selain PdP bersemuka ditangguhkan - KPM

PUTRAJAYA - Semua program atau aktiviti sukan, kokurikulum, seminar, bengkel serta aktiviti selain pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka semua institusi di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ditangguhkan sehingga hujung tahun ini.


KPM memaklumkan perkara tersebut di dalam satu surat yang bertarikh 21 Oktober yang telah diedarkan kepada semua Pengarah Pendidikan negeri dan juga di laman web rasmi kementerian.


"Berdasarkan situasi semasa penularan COVID-19, KPM memandang serius perkara ini dan perlu mengambil tindakan segera untuk memastikan program/aktiviti yang melibatkan guru dan murid dijalankan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya di dalam surat tersebut.


KPM sebelum ini telah pun mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah serta Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu sebagai rujukan semua pihak yang terlibat.


"Garis panduan ini sebagai panduan kepada pihak sekolah bagi menjamin keselamatan serta kesihatan guru dan murid. Sehubungan dengan itu, KPM memutuskan agar semua kegiatan sukan, kokurikulum, seminar, bengkel, taklimat dan program-program lain yang melibatkan guru dan murid secara bersemuka ditangguhkan," jelasnya lagi.


KPM dalam pada itu menggalakkan program-program tersebut dijalankan secara dalam talian dengan menggunakan kemajuan teknologi serta kemudahan platform yang bersesuaian bagi membolehkan interaksi dua hala bersemuka dan belaku secara dalam talian (maya).


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon