Monday, 2 November 2020

Belanjawan 2021: Peruntukan pembelajaran digital dan kenaikan gaji harapan NUTP

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berharap Belanjawan 2021 akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pembelajaran digital.


Presidennya, Aminuddin Awang, berkata pihaknya kerajaan akan menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk memperkasakan lagi pembelajaran digital.


“Ia kerana dari pengalaman menghadapi Covid-19 ini, kita dapati bahawa pembelajaran digital itu sangat penting.


“Justeru kita mengharapkan peruntukan yang amat besar kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memingkatkan pembelajaran digital ini,” katanya kepada Malaysiapost.


Selain itu, Aminuddin penyelenggaraan bangunan sekolah perlu terus diberikan perhatian melalui lebih banyak peruntukan.


Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peruntukan untuk tujuan tersebut agak berkurangan dan pihak sekolah menghadapi masalah apabila ingin memohon pelaksanaan penyelenggaraan bangunan.


“Justeru, kita dapati ia agak memberi kesan kepada proses pembelajaran di sekolah,” katanya.


Beliau juga meletakkan harapan terhadap dua perkara yang telah diluluskan kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2018 untuk dilaksanakan dalam Belanjawan 2021 ini.


“Perkara pertama berkaitan kenaikan gaji kepada semua penjawat awam termasuk guru tetapi tidak dilaksanakan.


“Kedua adalah untuk diwujudkan tapisan Gred DG 56 kepada guru-guru yang telah lima tahun berada di Gred DG 54. Itupun sudah diumumkan, jadi kita harap ia dilaksanakan,” katanya.


Tambah beliau, kerajaan juga perlu memberi lebih peruntukan untuk memperkasakan pelaksanaan kokurikulum di sekolah supaya hasrat melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, rohani dan intelek itu dapat dilaksanakan sebaiknya.


Belanjawan 2021 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat ini. Sumber – Malaysiapost


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon