Saturday, 14 November 2020

Buta huruf: Ibu bapa digesa luang lebih masa dengan anak

Imej hiasan

KUALA TERENGGANU: Ibu bapa digesa menjadualkan masa mereka sepanjang tempoh penutupan sekolah hingga bulan depan untuk mengajar anak-anak terutama yang bakal melangkah ke tahun satu pada sesi 2021.


Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Losong, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, langkah itu penting bagi memastikan kalangan murid tahun satu tidak berdepan masalah keciciran sekali gus dapat menguasai kemahiran membaca, mengira dan menulis (3M).


Katanya, dalam suasana norma baharu ini tanggungjawab mendidik murid tidak boleh diharapkan kepada guru semata-mata kerana ibu bapa juga memainkan peranan penting.


“Kita tidak mahu masalah keciciran anak-anak dalam menguasai kemahiran 3M pada tahun depan dituding kepada sekolah, sedangkan kita tahu kekangan fokus pembelajaran online bagi murid prasekolah dan tahun satu yang memerlukan interaksi secara bersemuka.

SYED ANUAR SYED MOHAMAD - Utusan

“Kebimbangan saya adalah kepada murid-murid di sekolah pinggir dan luar bandar yang kita tahu ibu bapanya bekerja sendiri jadi saya harap mereka dapat meluangkan masa mengajar anak masing-masing dalam tempoh ‘cuti sekolah’ selama dua bulan ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Guru bakal berdepan tugasan berat mengajar murid ‘buta huruf’ tahun depan susulan penutupan sesi persekolahan yang terlalu lama berisiko meningkatkan kadar keciciran terutama mereka yang daripada keluarga miskin di luar bandar yang ketiadaan peranti dan talian internet.


Bagaimanapun ,Syed Anuar yakin tugasan mengajar anak-anak prasekolah dan tahun satu itu tidak menjadi bebanan buat ibu bapa di luar bandar kerana hanya melibatkan kemahiran 3M.


Dalam perkembangan sama, beliau berharap pihak sekolah dapat membuat persediaan lebih proaktif dalam mengatasi isu murid keciciran pada tahun depan.

Sumber -UTUSAN ONLINE


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon