Friday, 20 November 2020

Kaji semula pengisian pelaporan PdPR oleh guru - NUTP

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) melalui satu siaran media memohon agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melihat semula arahan yang telah dikeluarkan untuk guru-guru mengisi pelaporan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) .


Cadangan tersebut diutarakan kerana ianya dilihat membebankan guru-guru yang telah sedia berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam menyampaikan PdPR kepada murid-muridnya.


NUTP sebelum itu telah menerima pelbagai maklum balas daripada guru-guru berkenaan melalui satu kiriman di laman Facebook mereka semalam.

"Pelaporan di pihak sekolah sudah memadai dengan dipantau oleh pihak pentadbir. Laporan yang dibuat diuruskan oleh orang yang sama dan ianya dihantar kepada pihak yang berbeza meskipun semuanya di bawah KPM.

"Beri kebebasan kepada guru-guru untuk menjalankan PdPR kerana guru turut memberi kelonggaran kepada murid-murid dalam melengkapkan tugasa harian setiap hari dan tidak tertakluk dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang sahaja. Guru bersedia menerima tugasan murid tersebut meskipun pada malam hari kerana guru faham kekangan yang dihadapi murid," jelas beliau.

NUTP turut memberi contoh kekangan seperti murid yang meminta izin untuk menghantar tugasan pada waktu malam kerana bapanya bekerja manakala ibu pula ke klinik untuk menjalani dialisis.

"Pelaporan tersebut menjadi bertindan kerana guru perlu memberi laporan kepada pihak sekolah dan juga mengisi pelaporan secara dalam talian. 

"KPM sebenarnya boleh mendapatkan laporan tersebut dari pihak sekolah sahaja," katanya lagi.

Bilangan soalan yang panjang dan banyak juga menjadi persoalan yang dibangkitkan oleh NUTP kerana ia dilihat membebankan sekiranya guru tersebut mempunyai kelas yang banyak pada hari tersebut.

Untuk rekod, KPM telah mengarahkan semua guru untuk mengisi pelaporan  PdPR melalui pautan yang telah disediakan bermula pada 17 November 2020 hingga 17 Disember 2020.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon