Wednesday, 4 November 2020

Kerajaan kaji gesaan teruskan moratorium - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengkaji kaedah bagi memudah cara proses bagi membantu pihak yang benar-benar memerlukan sokongan susulan gesaan supaya kemudahan moratorium kewangan diteruskan.


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan sememangnya menerima banyak maklum balas daripada pelbagai pihak berhubung keperluan untuk melanjutkan kemudahan moratorium terutama bagi mereka yang terjejas dengan keadaan ekonomi ketika ini serta penularan COVID-19.


"Moratorium banyak berkaitan dengan bank yang dikawal selia oleh Bank Negara dan ia bukan peruntukan kerajaan.


"Ada desakan supaya ia diteruskan lagi, jadi tentulah perlu kita berbincang dengan Bank Negara dan Persatuan Bank di Malaysia sama ada boleh dipertimbangkan," katanya pada Wawancara Perdana Menteri, hari ini.


Muhyiddin berkata, hampir semua peminjam di negara ini menggunakan kemudahan moratorium yang mengurangkan dana untuk mereka yang benar-benar memerlukan.


"Tambahan, moratorium juga mengurangkan dana institusi bank yang dapat digunakan untuk mengeluarkan pinjaman baharu. Dengan itu, Kerajaan mengambil langkah untuk beralih kepada pendekatan yang lebih bersasar," katanya.


Selain itu, katanya, setakat 16 Oktober lalu, lebih 650,000 permohonan bantuan bayaran balik pinjaman iaitu terdiri daripada 603,500 permohonan daripada individu, 43,000 permohonan daripada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), dan 3,500 permohonan daripada perniagaan lain, telah diterima dengan kadar kelulusan sebanyak 98 peratus.


Pada masa sama, Muhyiddin berkata, nilai keseluruhan bayaran balik pinjaman mencecah 70 peratus daripada jumlah sebelum tempoh moratorium pinjaman secara menyeluruh, setakat September lalu, biarpun ketika itu tempoh moratorium secara menyeluruh selama enam bulan masih berkuatkuasa.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon