Thursday, 19 November 2020

Sekolah guna ketua kampung bantu PdP murid di rumah

Imej via FB SMK Seri Machap

PONTIAN: Hub Pendidikan Kampung (HPK) merupakan satu kaedah dirintis Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Machap, Simpang Renggam di sini, di mana modul pembelajaran akan disediakan guru-guru kemudian dihantar kepada ketua-ketua kampung serta seterusnya diambil oleh para pelajar di kawasan masing-masing.


Pengetua SMK Sri Machap, Tumin Yatman berkata, ia merupakan satu usaha berterusan Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) meskipun sekolah ditutup akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Covid-19 di samping para pelajar tidak mempunyai kemudahan akses internet di rumah.


Katanya, terdapat 424 pelajar tidak mempunyai kemudahan akses internet di rumah tetapi mereka juga perlu diberikan peluang sama untuk belajar agar tidak tercicir.


“Alhamdulillah HPK merupakan satu inisiatif sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama lagi dengan kerjasama Penghulu dan Ketua Kampung apabila modul dihantar kepada mereka.


“Selepas itu, ketua-ketua kampung berperanan menghantarnya kepada para pelajar di kampung masing-masing sekali gus ia mewujudkan kerjasama pihak pendidik dengan golongan komuniti.


“Ia satu inisiatif dengan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan pelajar-pelajar tidak tercicir untuk mengikuti pembelajaran mereka walaupun ketika ini sekolah ditutup,” katanya ditemui pemberita baru-baru ini.

TUMIN Yatman (kiri) menyerahkan modul pembelajaran
 kepada Ketua Kampung Perak, Norazlan Warap,
di Kampung Sri Machap, Simpang Renggam, Pontian,
Johor semalam. - FOTO/MUHAMMAD ZIKRI


Tumin yang merupakan Pengetua Cemerlang menambah, modul pembelajaran tersebut akan diambil semula oleh guru-guru berkenaan dan menghantarnya semula yang baharu bagi kegunaan seterusnya.


“Harapan kami supaya objektif pembelajaran di rumah tercapai tanpa mengira kekangan kemudahan yang ada pada pelajar kerana kami memahami akan kepayahan jika pembelajaran dibuat secara atas talian,” ujarnya.


Jelas bagi melihat keberkesanan kaedah HPK, satu mesyuarat bersama pemimpin komuniti setempat secara berkala bagi pihak sekolah merumuskan pencapaian pelajar-pelajar yang mengikuti modul ini. – UTUSAN


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon