Wednesday, 11 November 2020

#UntukMalaysia tumpu selesaikan isu berkaitan pendidikan - Maszlee

Prihatin dengan isu-isu berkaitan pendidikan di negara ini, satu gerakan #UntukMalaysia ditubuhkan bagi menyelesaikan isu pendidikan dengan kerjasama pemegang taruh.


Penaung gerakan yang juga ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata gerakan itu bergantung penuh kepada penyertaan masyarakat awam yang peduli dan prihatin, yang percaya bahawa perubahan boleh dilaksanakan jika semua berganding bahu dan saling berpegang tangan.


"Untuk Malaysia percaya tiada isu pendidikan yang tidak boleh diselesaikan.


"Untuk Malaysia akan memulakan inisiatif untuk memastikan semua pemegang taruh duduk semeja untuk sama-sama membincangkan isu-isu yang selama ini tidak berjaya diselesaikan," kata Maszlee.


Bekas menteri pendidikan itu berkata dia percaya lebih ramai dari kalangan mereka yang terjejas terutamanya ketika pandemik Covid-19, dapat menikmati manfaat dengan bantuan daripada rakyat Malaysia yang percaya bahawa perubahan boleh dilakukan.


"Sebagai sebuah gerakan awam, Untuk Malaysia bertanggungjawab menyediakan platform kepada rakyat berpartisipasi dan bersama-sama menyelesaikan isu-isu yang selama ini tidak berjaya diselesaikan.


"Untuk Malaysia memerlukan bantuan semua termasuk warga profesional, pekerja sivil, kakitangan kerajaan dan swasta, pengkaji di universiti bahkan semua lapisan masyarakat untuk menjayakan agenda nasional ini," katanya.


Untuk Malaysia terbuka untuk sesiapa sahaja daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira ideologi, parti politik, identiti, usia mahupun latar belakang.


Semua pemegang taruh, termasuk kesatuan pendidikan dan NGO berkaitan akan turut dijemput untuk menyertai gerakan ini.


Semua rakyat Malaysia juga boleh memohon bantuan melalui portal untukmalaysia.my.


Namun, pada peringkat awal permohonan akan disaring mengikut keperluan dan tertakluk kepada dana yang dikumpul melalui orang ramai di portal yang sama.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon