Tuesday, 15 December 2020

COVID-19: Utamakan memvaksin guru demi kepentingan pendidikan

NEW YORK: Guru harus menjadi antara golongan yang diberikan keutamaan untuk memperoleh vaksin COVID-19, kata Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Henrietta Fore.


"Pandemik COVID-19 telah menyebabkan pendidikan kanak-kanak di seluruh dunia menjadi kacau-bilau. Oleh itu, memvaksin guru adalah langkah penting untuk mengembalikannya ke landasan.


"Guru harus diberikan keutamaan untuk memperoleh vaksin COVID-19 sebaik saja petugas kesihatan di barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi sudah divaksin.


"Ini akan membantu melindungi guru daripada jangkitan virus berkenaan, sekali gus membolehkan mereka mengajar secara bersemuka dan sekolah terus dibuka," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut UNICEF, ketika kemuncak gelombang pertama pandemik itu pada akhir April lalu, penutupan sekolah telah menjejaskan pembelajaran hampir 90 peratus pelajar di seluruh dunia.


Ketika ini, menurut UNICEF lagi, kelas masih tutup kepada hampir satu bagi setiap lima pelajar sekolah di seluruh dunia - atau 320 juta kanak-kanak.


"Kita mesti berusaha melakukan segala yang terdaya untuk memelihara masa depan generasi seterusnya. Ini bermula dengan melindungi golongan bertanggungjawab membuka masa depan untuk mereka.


"Akibat daripada pendidikan yang terjejas, ketinggalan atau dilanjutkan adalah besar, terutama bagi golongan tidak bernasib baik.


"Semakin lama kanak-kanak tidak bersekolah, semakin kecil kemungkinan mereka akan kembali, dan semakin sukar untuk ibu bapa mereka kembali bekerja," katanya. - AFP


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon