Saturday, 5 December 2020

KPM dalam peringkat akhir kajian mansuhkan UPSR sepenuhnya - Timbalan Menteri

Alor Gajah: Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang dalam peringkat akhir kajian sebelum mempertimbangkan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).


Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya berkata, pihak kementerian akan membuat keputusan muktamad mengenainya tidak lama lagi selepas perincian kajian selesai sepenuhnya.


"Kemungkinan besar tidak akan ada lagi UPSR pada tahun hadapan dan selama-lamanya... kemungkinan besar kumpulan murid yang menduduki UPSR pada tahun lalu adalah yang terakhir.

Timbalan Menteri Pendidikan 1 - Muslimin Yahya


"Kementerian sekarang pada peringkat akhir membuat kajian mengenainya dan insya-Allah akan membuat keputusan muktamad tidak lama lagi," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan anugerah pelajar cemerlang UPSR 2019 Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, dekat sini, hari ini.


Seramai 148 bekas murid di 38 Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) seluruh Parlimen Masjid Tanah menerima sumbangan wang tunai dan caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).


Turut hadir, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.


Bagaimanapun, Muslimin berkata, KPM tidak membuat kajian sama ada perlu menggantikan UPSR dengan ujian lain yang fungsinya sama dengan UPSR.


Sebaliknya, beliau berkata, pencapaian akademik murid tahun enam akan dinilai melalui pentaksiran sepanjang masa, ujian esei dan temu duga bagi membolehkan mereka ditempatkan di lima jenis sekolah khusus.


"UPSR adalah ujian penilaian dan ia boleh dibuat dengan kaedah lain seperti pentaksiran sepanjang masa yang lebih asli dan berterusan sifatnya serta membuka peluang yang lebih luas kepada lebih ramai murid," katanya.


Pada 15 April lalu, KPM mengumumkan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.


Pada Jun lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, dilaporkan berkata, kira-kira 400,000 pelajar dijangka memohon menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) pada September hingga Oktober lalu bagi penempatan ke lima jenis sekolah khusus.


Ia membabitkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).


Bagaimanapun, PKSK tidak membabitkan kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kerana institusi itu mempunyai instrumen sendiri pemilihan murid, iaitu Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM).


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon