Wednesday, 2 December 2020

KPM yakin dengan kreativiti guru elak murid tercicir

Perkongsian netizen berkenaan pengorbanan
guru untul muridnya di media sosial - Google


KUALA LUMPUR: Ada guru mengambil pendekatan menghantar sendiri bahan pembelajaran ke rumah pelajar bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan internet berikutan penutupan sekolah akibat Covid-19.


Timbalan Menteri Pendidikan I Muslimin Yahya berkata, pihaknya mengakui wujud jurang digital dalam kalangan murid khususnya luar bandar untuk mengikuti pembelajaran dalam talian sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).


Katanya, berdasarkan kajian kira-kira 36% murid tidak mempunyai sebarang peranti bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran dalam talian di rumah.


“KPM (Kementerian Pendidikan) sangat risau dengan keciciran mereka (pelajar) tertinggal daripada penguasaan silibus untuk menghadapi peperiksaan awam.


“Kita juga sedar apabila kita gunakan kaedah belajar dari rumah, kita tahu bukan keseluruhan pelajar yang boleh akses internet, daripada kita punya kajian 36% pelajar tidak memiliki peranti (kemudahan intenet) di situ kita ada kerisauan, kebimbangan pelajar kita tak dapat menguasai untuk mereka hadapi SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) misalnya.


“Tetapi di peringkat sekolah kita berterima kasih, kita amat yakin dengan kreativiti guru bukan sekadar beri tugasan secara ‘online’ dan mencetak bahan pelajaran untuk ibu bapa ambil di sekolah, tapi mereka sendiri hantar ke rumah bahan pengajaran terutama bagi pelajar di zon jauh dari kemudahan internet dan pemilikan peranti,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab pertanyaan tambahan bagi soalan lisan Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang), meminta KPM menjelaskan sejauh mana pendekatan diambil bagi memastikan pelajar terutama di kawasan luar bandar yang tiada kemudahan internet tidak terjejas berikutan penutupan sekolah dan terpaksa belajar di rumah termasuk melibatkan kesediaan menghadapi peperiksaan awam.


Katanya, kesukaran juga terpaksa dihadapi keluarga yang memiliki 3 atau 4 anak yang perlu menggunakan kemudahan komputer dan internet pada satu-satu masa.


Muslimin berkata, KPM yakin akan menggunakan apa saja cara untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran ketika sekolah ditutup akibat Covid-19 tidak terjejas teruk.


“Kita yakin pelbagai inisiatif akan digunakan bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan juga walaupun dengan apa juga cara,” katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon