Saturday, 12 December 2020

Murid Tahun 5 dari M'sia menang anugerah filem animasi di Brazil

KUCHING: Dua murid tahun 5 Sekolah Kebangsaan (SK) Temong, Serian mengharumkan negara selepas hasil karya bimbingan dua cikgu sekolah itu berjaya menempa nama dipersada antarabangsa pada 'Festival de Cinema Escola de Alvorada' (FECEA), Brazil baru-baru ini.


Tajuk filem karya Macgres Sawet dan Nabiatul Dania Zulfiqa Mohd Zulfadhli diambil daripada bahasa Bidayuh, 'Batuh Bijanji' yang membawa maksud 'batu perjanjian' itu memenangi anugerah 'Best Film By Popular Jury' bagi kategori sekolah rendah pada festival tersebut.


Menurut Cikgu Wan Zulfadli Ad-Dinnie Wan Azmi, anugerah yang dimenangi itu hasil undian dalam festival tersebut.


"Alhamdulillah syukur dengan rezeki dari Allah, dua murid yang terlibat dalam menghasilkan karya filem pendek animasi ini, Macgres Sawet dan Nabiatul Dania Zulfiqa Mohd Zulfadhli juga gembira dengan kemenangan ini," katanya ketika dihubungi Utusan Borneo hari ini.


Jelasnya, beliau bersama Cikgu Mohd Reduan Patah membimbing dua murid berkenaan dalam pembikinan filem pendek animasi itu yang mengambil masa 10 hari menggunakan teknik rotoscoping iaitu sebuah teknik di mana animator mengesan rakaman ditangkap untuk menghasilkan animasi secara visual seakan-akan realistik.


"Projek pembikinan filem ini diadakan pada tahun lepas (2019) semasa dan selepas mengikuti bengkel animasi DISTA (Digital Storytelling Animation) anjuran Bahagian Teknologi Pendidikan Sarawak (kini dikenali sebagai SSTP Sarawak), Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi (MESTR) dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) yang merupakan inisiatif kerajaan Sarawak ke arah digital.


"Dua hari tempoh pembikinan berjalan sewaktu bengkel DiSTA 2019 Siri 1 di sebuah hotel di Kuching dan projek ini dibangunkan lapan hari lagi yang bersambung di sekolah, termasuk rakaman footages baharu," jelasnya.


Macgres dan Nabiatul bangga hasil karya mereka
berjaya memenangi anugerah di FECEA, Brazil.

Menurut Cikgu Wan Zulfadli lagi, projek sekolah ini di bawah Kelab Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang turut dipantau Penolong Kanan Kokurikulum Stanley Ngawah dan diluluskan Guru Besar Cleveland Raden.

Mengulas lanjut tentang filem itu, katanya, ia mengisahkan tentang dua kawan, Bibi dan Sarah yang mula menjalin persahabatan selepas Bibi bertemu dan memujuk Sarah yang sedang dalam kesedihan.


"Bibi berjanji akan menjaga persahatan mereka seerat batu seremban dalam genggamannya. Sehinggalah ditakdirkan mereka berpisah kerana Bibi perlu melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bibi merasa sedih kerana setiap surat yang diutuskan tidak pernah dijawab oleh Sarah," ujarnya.


Dalam pada itu, Cikgu Wan Zulfadli berkata, penyertaan festival tersebut diadakan secara dalam talian yang mana undian bermula dari 17 hingga 28 November 2020.


"Majlis anugerah juga dijalankan secara dalam talian menerusi 'Google Meet' pada 28 November sekitar jam 4 petang," katanya sambil menambah trofi anugerah itu akan dihantar menerusi pos.


FECEA merupakan Festival Filem Sekolah Antarabangsa Alvorada yang diadakan di Brazil, antara satu acara yang memberi pengiktirafan terhadap karya audiovisual yang dilaksanakan di peringkat sekolah.


Selain itu, animasi ini juga turut tercalon di dalam Anugerah 'Best Animation (Primary School), namun rezeki tidak memihak kepada mereka. Keputusan bagi anugerah ini diperoleh daripada hasil undian di saluran YouTube FECEA RS.


Animasi Batuh Bijanji pernah dinobatkan antara 11 filem pendek terbaik Asia pada tahun 2019 di bawah inisiatif #SubmitYourFilm kelolaan laman online perfileman, Asian Movie Pulse.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon