Monday, 4 January 2021

Buka sekolah perlu ikut situasi setempat - iGuru


Kuala Lumpur: Pembukaan semula sesi persekolahan pada 20 Januari ini perlu mengambil kira situasi penularan Covid-19 setempat. 


Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, mengambil kira perkembangan kes Covid-19 yang semakin meningkat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memastikan pengoperasian sekolah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta disiplin yang tinggi terhadap pematuhan kepada garis panduan pengurusan dan pengoperasian sekolah dalam norma baharu.


"Aspek kesihatan dan keselamatan pelajar perlu diberi keutamaan supaya tidak menjadi kebimbangan kepada ibu bapa biarpun pembelajaran yang sempurna secara bersemuka lebih berkesan. 


"KPM boleh membenarkan pengoperasian secara berperingkat dahulu khususnya pelajar yang mengambil peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi kawasan yang berisiko manakala yang tidak berisiko boleh meneruskan pengoperasian sekolah seperti sedia ada," katanya kepada Harian Metro. 


Menurutnya, tanggungjawab dan disiplin setiap pelajar, guru dan pentadbir sekolah memainkan peranan penting bagi mengelak penularan pandemik itu di sekolah. 


"KPM perlu sediakan pelan kontingensi dengan mengambil kira situasi perkembangan Covid-19 berpandukan maklumat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya. 


Katanya, jika kawasan yang tidak terjejas boleh teruskan sesi persekolahan manakala yang masih berada dalam kes tinggi serta boleh berlaku penularan tempatan boleh difikirkan kaedah yang sesuai khususnya menerusi pembelajaran secara dalam talian.  


"Pengoperasian sekolah boleh dibuka mengambil kira keadaan semasa," katanya.


Menurutnya, pihaknya sedia maklum mengenai kebimbangan ibu bapa untuk menghantar anak mereka dalam keadaan kes Covid-19 dalam negara masih mencecah empat angka. 


"Dalam hal ini KPM perlu memberi jaminan kepada ibu bapa, kementerian sudah menyediakan SOP, garis panduan dan pelan kontingensi untuk memastikan kebimbangan dapat ditangani. 


 "Aspek ini juga memerlukan kerjasama ibu bapa untuk sama-sama patuh dengan SOP dan garis panduan yang ditetapkan," katanya. 


Menurutnya, ibu bapa juga perlu memastikan anak mereka di rumah mengikuti pembelajaran secara dalam talian, berhubung dengan sekolah dan guru jika mempunyai sebarang masalah. 


Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua institusi pendidikan di bawah KPM akan dibuka pada 20 Januari ini mengikut takwim yang diumumkan sebelum ini. 


Bagi pembukaan institusi pendidikan swasta dan antarabangsa yang berdaftar dengan KPM untuk sesi 2021, ia tertakluk kepada kalendar akademik institusi itu selain mengikut SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).


Sumber: Harian Metro


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon