Sunday, 24 January 2021

Ibu bapa, guru dan pelajar berdepan cabaran PdPR

Imej hiasan via media sosial

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di seluruh negara dilihat bukan saja memberi cabaran kepada ibu bapa, malah guru dan pelajar juga terpaksa berdepan pelbagai isu.


Seorang guru di sebuah sekolah di Putrajaya berkata, kehadiran kelas dalam talian dalam kalangan pelajar daripada kelas 'belakang' dilihat agak rendah.


"Contohnya, kehadiran pelajar kelas hadapan ialah 24 daripada 27 orang keseluruhan. Namun, kehadiran kelas belakang dilihat hanya enam daripada jumlah 19 orang. Oleh itu, pelajar pandai dilihat akan 'selamat' dan yang lemah pula terus ketinggalan.


"Jika di sekolah, guru boleh memanggil pelajar bersemuka dan memberi motivasi.


"Namun apabila kelas dijalankan secara dalam talian, ia bergantung pada persediaan pelajar terbabit dari segi peranti, pelan data dan motivasi diri," katanya ketika dihubungi.


Beliau yang enggan dikenali berkata, cabaran lain kelas dalam talian ialah sukar memantau disiplin dan tumpuan pelajar.


Malah, katanya, ada pelajar mengaku membuka dua paparan pada komputer riba, iaitu satu untuk kelas dalam talian dan satu lagi bagi 'melayan permainan dalam talian'.


Bagi pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di Selangor, Syakir Fazly, 15, cabaran belajar di rumah ialah adiknya sering membuat bising dan mengganggu ketika dia mengikuti kelas dalam talian.


"Sukar untuk saya mendengar suara cikgu dan pelajar lain. Kalau ada yang hendak bertanya soalan pun, cikgu hanya teruskan mengajar kerana tidak mendengar soalan dan suara pelajar.


"Selain itu, tidak semua yang cikgu ajar dapat difahami dengan jelas kerana skrin telefon bimbit kecil. Pautan diberikan cikgu juga selalu sukar diakses dan tersekat-sekat," katanya.


Pekerja swasta, Shahidah Musa berusia lewat 30-an dan mempunyai anak bersekolah Tahun Satu dan Dua di Selangor pula berkata, ada guru tidak konsisten serta bertukar-tukar platform media sosial dan medium dalam mengendalikan PdPR.


"Ada masa menggunakan platform WhatsApp, kemudian bertukar kepada Telegram. Medium pembelajaran juga berubah-ubah, daripada aplikasi Zoom kepada Google Meet dan panggilan video. "Selain itu, waktu kelas bermula juga berubah seperti hari pertama jam 9.30 pagi tetapi hari kedua 10 pagi. Ibu bapa terpaksa sentiasa menunggu maklumat dan kemas kini daripada guru," katanya yang terpaksa membeli telefon bimbit untuk anak berikutan pelaksanaan PdPR.


Malah, beliau memaklumkan, ada ibu bapa terpaksa 'belajar' aplikasi Google Classroom dan sebagainya bagi membantu anak menyiapkan tugasan, terutama yang memerlukan mereka merakam video.


Ahli perniagaan, Norazah Muda, 49, berkata anak bongsu beliau yang sepatutnya memasuki Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama swasta berasrama di Negeri Sembilan, belum memulakan PdPR untuk tahun ini, setakat hari ini.


"Saya risau membelikan telefon bimbit atau komputer riba untuk anak saya.


"Ini kerana berdasarkan pengalaman saya pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, anak saya sangat obses permainan video, malah turut membeli-belah dalam talian ketika tiada kelas," katanya.


Norazah berkata, ketika PKP tahun lalu, beliau hanya membenarkan anak membuat kerja rumah dan belajar menggunakan telefon bimbit miliknya.


Di Johor, Hairunnisak Aman, 39, yang mempunyai anak berusia enam, lapan dan 10 tahun berkata, PdPR bukan sahaja menuntut disiplin tinggi pelajar, malah ibu bapa juga perlu memainkan peranan memastikan anak tidak tercicir.


"Agak mencabar kerana memerlukan komitmen tinggi untuk menyertai sesi Google Meet, Google Classroom, Telegram dan WhatsApp membabitkan tiga anak yang bersekolah rendah secara serentak.


"Namun buat masa ini, saya masih boleh 'curi-curi' masa memantau mereka," kata pengusaha katering itu ketika dihubungi. – BERNAMA


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon