Monday, 25 January 2021

PdPR: Laksana pembelajaran secara hibrid


ALOR SETAR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah mencadangkan supaya kerajaan menambah baik kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) menerusi pelaksanaan pembelajaran secara hibrid.


Pengerusinya, Asril Ariff Abdul Malik berkata, pembelajaran secara hibrid yang diperkenalkan kepada mahasiswa universiti dilihat sesuai dilaksanakan kepada pelajar sekolah.


“Pelaksanaan pembelajaran secara hibrid ini sesuai dengan situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kita masih belum tahu bila akan berakhir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Pembelajaran secara habrid ini ialah gabungan antara pembelajaran secara dalam talian dan bersemuka.


Kata beliau, menerusi sistem itu, kalangan guru dan pelajar tidak perlu bergantung kepada kelas dalam talian semata-mata.


“Proses pembelajaran secara bersemuka juga akan dijalankan mengikut masa yang sesuai,” ujarnya.


Menurut Asril Ariff, pembelajaran hibrid dapat mengelakkan berlakunya masalah keciciran pelajar dalam mengikuti sesi persekolahan tahun ini.


Beliau pada masa sama, berkata, pihaknya juga menyarankan kerajaan supaya menambah baik capaian internet kepada pelajar terutama di kawasan luar bandar.


“GPMS Kedah menyokong penuh usaha kerajaan yang menyediakan pemberian percuma data 1 Gigabait (GB) kepada pelajar sekolah bagi menangani masalah keciciran pelajar sewaktu PdPR di rumah.


“Namun begitu, kita menyarankan pihak kerajaan melakukan penambahbaikan kemudahan internet terutama di kawasan luar bandar,” katanya.


Tambahnya, sebilangan pelajar di luar bandar didapati sukar mendapat akses internet di rumah mereka.


“Masalah ini sedikit sebanyak telah menyebabkan proses pembelajaran terganggu terutama melibatkan pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tidak lama lagi,” katanya.


Sumber – UTUSAN


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon