Friday, 5 February 2021

PdPR: Mulianya hati seorang guru...

Imej via Harian Metro

Kubang Pasu: Makan nasi digaul dengan minyak ikan goreng. Itu hidangan seorang nenek dan dua cucunya hampir setiap hari akibat kesempitan hidup dialami mereka.


Kharisun Daud, 58, berkata dia tidak mampu menyediakan hidangan lauk dan sayur setiap hari seperti orang lain kerana tidak lagi dapat keluar bekerja selepas menghidap kencing manis sejak lima tahun lalu.


Katanya, kesempitan hidup turut menyebabkan dia sama sekali tidak mampu membeli telefon bimbit bagi kegunaan dua cucunya, Mas Emylia Natasya, 9, dan Mohd Alif Ashraf Hidayat, 8, yang perlu belajar melalui Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) secara dalam talian.


"Keadaan kami tiga beranak memang sukar, tahun lalu dua cucu hanya dapat bersekolah beberapa hari sahaja dan mereka tidak dapat mengikuti kelas secara dalam talian.


"Dua orang cucu kini hanya belajar atas ihsan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Wan Kemara, Changlun, yang sudi menghantar kerja sekolah ke rumah kami.


"Saya sendiri susah untuk keluar kerana penglihatan semakin kabur akibat kencing manis, malah untuk ke kedai membeli barang keperluan juga sukar kerana perlu menunggang motosikal," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mempelam, Bukit Kayu Hitam hari ini.


Kharisun terpaksa menjaga dua cucunya itu selepas ibu bapa mereka bercerai dan mereka hanya datang menjenguk dua kanak-kanak itu di kampung sekali-sekala.


Wanita itu berterima kasih kepada guru SK Dato' Wan Kemara kerana sering menghantar bantuan barang keperluan dan memberi wang tunai kepadanya.


"Jika tiada duit untuk makan, guru sekolah inilah tempat saya tuju, mereka tidak lokek untuk membantu kerana memahami keadaan saya.


"Semua anak sudah berkeluarga dan mereka hanya bekerja biasa, ada yang menjadi nelayan, pembantu kedai dan menjual ikan, pendapatan mereka tidak menentu namun mereka ada juga hulur duit kepada saya.


"Saya juga bergantung kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan selain rumah yang saya diami sekarang adalah bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK)," katanya.


Sementara itu, Guru Besar SK Dato' Wan Kemara, Mohd Nizam Saidin berkata, dua cucu Kharisun adalah antara 20 murid golongan asnaf yang menerima bantuan telefon pintar serta talian prabayar sumbangan guru sekolah itu.


Katanya, pemilihan murid itu dibuat oleh jawatankuasa yang dilantik bagi memilih murid yang benar-benar layak menerima peranti berkenaan.


"Semoga dengan keprihatinan warga guru SK Dato' Wan Kemara dapat membantu murid sekolah ini supaya tidak ketinggalan pembelajaran dalam tempoh yang sukar ini," katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon