Friday, 5 February 2021

Sesi PdP bersemuka calon SPM/SVM tamat 9 Februari



PUTRAJAYA: Sesi persekolahan bersemuka bagi semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) tahun 2020 akan berakhir pada 9 Februari ini.


Menurut satu surat edaran Kementerian Pendidikan, ia sebagai memberi ruang kepada para pelajar berkenaan membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Februari ini.


Bagaimanapun, kata kementerian itu, bagi pelajar yang tinggal di asrama sekolah, mereka perlu kekal berada di asrama, namun mereka yang ingin menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama-sama keluarga dibenarkan pulang selepas sesi persekolahan 9 Februari.


Namun, katanya, kebenaran itu tertakluk kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa.


“Pelajar yang ingin kembali semula ke asrama selepas sambutan perayaan itu akan diasingkan selama 10 hari di asrama dan mereka akan mengambil peperiksaan di bilik khas dalam tempoh tersebut.


“Sekiranya murid ingin kekal berada di rumah, mereka dibenarkan untuk menduduki peperiksaan sebagai calon menumpang di pusat peperiksaan yang berhampiran,” menurut surat berkenaan bertarikh semalam.


Kementerian Pendidikan memberitahu, ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan kepada pihak sekolah selewat-lewatnya pada 9 Februari sekiranya ingin menduduki peperiksaan sebagai calon menumpang di pusat peperiksaan berhampiran.


Katanya, pihak sekolah hendaklah memaklumkan perkara tersebut kepada Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri untuk tindakan lanjut.


“Ini bagi membolehkan urusan peperiksaan murid dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.- UTUSAN ONLINE


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon