Friday, 26 February 2021

Tidak wajar calon mengulang kertas Sejarah jika benar dakwaan bocor - PAGE

KUALA LUMPUR: Pelajar tidak boleh dijadikan sebagai penanggung beban dan diminta menduduki semula peperiksaan Kertas 2 subjek Sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekiranya dakwaan kebocoran soalan adalah benar.


Setiausaha Kehormat, Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Tunku Munawirah Putra mengesyorkan agar kesemua 401,105 calon SPM diberi markah lulus dan tiada perlu menduduki semula kertas peperiksaan tersebut.


“Jangan pelajar pula yang perlu menanggung beban kertas soalan yang didakwa bocor. “Kami mengalu-alukan bahawa semua calon SPM diberi markah lulus dan tidak perlu menduduki semula kertas peperiksaan itu (jika dakwaan bebocoran soalan itu benar),” katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.


Tunku Munawirah berkata Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menjalankan siasatan yang mendalam dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bersubahat, sekiranya benar-benar terdapat kebocoran pada kertas peperiksaan berkenaan.


“Guru atau mana-mana pihak yang bersubahat itu perlu dipecat tanpa pencen, didenda dan dipenjarakan kerana gagal menegakkan integriti dan profesionalisme perguruan.


“Sebaik-baiknya bagi memastikan perkara sebegini tidak berlaku lagu pada masa hadapan, tindakan tegas terhadap pesalah perlu dijadikan iktibar kepada guru-guru dan kakitangan terbabit supaya tidak melakukannya.


“Guru perlu memartabatkan kegigihan dan ketelusan demi kejayaan anak murid mereka,” jelasnya.


Pada Rabu, memetik laporan The Star, topik bagi soalan kertas Kertas 2 subjek Sejarah dikatakan tersebar di aplikasi WhatsApp sebelum calon menduduki peperiksaan subjek berkenaan jam 10 pagi Rabu.


Laporan itu mendakwa, antara topik bocor yang tersebar adalah topik berkaitan 'Penentangan di Perak', 'Maritim' dan 'Wawasan 2020'.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon