Tuesday, 23 February 2021

Vaksin untuk guru bukti kerajaan peduli keselamatan sekolah



KUALA LUMPUR: Warga pendidik menyambut baik usaha kerajaan mahu mempertimbangkan 55,539 guru yang berisiko mendapatkan vaksin COVID-19. Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata inisiatif kerajaan itu sangat dialu-alukan kerana ia sememangnya diharapkan kesatuan sebelum ini.


Katanya, inisiatif kerajaan itu adalah pengiktirafan kepada guru sebagai barisan hadapan dalam memastikan persekitaran sekolah selamat kerana pada masa ini murid berusia bawah 18 tahun tidak akan divaksinkan.


"Ini akan menambahkan keyakinan guru untuk bertugas di sekolah dan meningkatkan kepercayaan ibu bapa untuk menghantar anak kembali ke sekolah," katanya kepada BH, hari ini.


Beliau mengulas seramai 55,539 guru yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi, akan diusahakan untuk menerima suntikan vaksin pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.


Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata pertimbangan memasukkan golongan pendidik dalam fasa pertama program vaksinasi terbesar negara itu dibuat selepas pihaknya menerima senarai daripada Kementerian Pendidikan.


Sementara itu, Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-Guru) berterima kasih kepada kerajaan kerana sedia mempertimbangkan untuk memberikan vaksin kepada guru yang berisiko dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.


Katanya, jelas kerajaan peduli dengan isu keselamatan sektor pendidikan dan mahu inisiatif itu diperluaskan kepada guru di kawasan berisiko seperti Zon Merah serta kawasan luar bandar dan pendalaman.


"Ini membolehkan guru menjalankan tugas dengan lebih baik di kawasan berisiko tinggi.


"Suntikan vaksin kepada guru ini penting supaya tidak menjejaskan operasi pendidikan apabila mereka terdedah jangkitan virus.


"Kita mahu sekolah selamat dan proses pembelajaran berjalan lancar dan menyelamatkan pelajar daripada keciciran pelajaran," katanya mengakui keutamaan perlu diberikan kepada kakitangan sektor kesihatan terlebih dahulu.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon