Tuesday, 9 March 2021

12,000 guru KEMAS bakal terima vaksin COVID-19

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad
(empat dari kiri) bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia,
Datuk Awang Hashim (lima dari kiri) beramah mesra dengan
Muhamad Faris Mat, 48, selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah
Taman Desa Tawakkal, Kampung Hujung Keton, Padang Kerbau.
- Foto NSTP/Amran Hamid


PENDANG: Seramai 12,000 guru di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada murid di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA).


Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata pihaknya sudah membuat permohonan itu kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dipengerusikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.


"Guru KEMAS akan diberi keutamaan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi mendapat vaksin, saya sebagai menteri jadi orang terakhir terima vaksin tidak mengapa.


"Sehingga kini, kita masih tunggu tarikh yang akan ditentukan JKJAV. Semua orang mahu suntik awal, tetapi kita perlu tunggu giliran, yang penting petugas barisan hadapan disuntik dahulu," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Taman Desa Tawakkal, Hujung Keton di sini, hari ini.


Pada 25 Februari lalu, Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mengumumkan, kira-kira 12,000 guru KEMAS akan menjadi antara penerima awal vaksin COVID-19.


Beliau dilaporkan berkata, pihaknya akan membawa cadangan supaya guru KEMAS turut menerima vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan kepada Kabinet untuk diputuskan segera.


Mengulas lanjut, Dr Abd Latiff berkata, guru TABIKA dan TASKA KEMAS juga dikategorikan petugas barisan hadapan seperti guru lain.


"Saya antara individu yang duduk dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiga kali seminggu.


"Ia menunjukkan betapa kerajaan serius untuk mengekang penularan COVID-19. Kerajaan sudah susun semua jadual, vaksin tidak sampai ke negara kita sekali gus, begitu juga dengan proses suntikan, ia perlu mengikut jadual," katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon