Wednesday, 3 March 2021

KPM kaji penyelarasan jadual peperiksaan - Dr Radzi Jidin

PUCHONG: Kerajaan akan merangka semula penyelarasan jadual peperiksaan besar termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa akan datang, susulan perubahan dalam struktur persekolahan akibat penularan COVID-19.


Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, perkara itu bagaimanapun masih dalam peringkat kajian untuk melihat pendekatan terbaik sebelum ia dilaksanakan.


Katanya, keputusan penyelarasan akan diumumkan kelak dengan mengambil kira penelitian terhadap perkara itu oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).


"Apa yang pihak LPM buat sekarang adalah merangka apakah kaedah terbaik menerusi pelaksanaan peperiksaan SPM kali ini.


"Jadi, (melalui peperiksaan ini) kita akan tahu apakah prosedur operasi standard (SOP) atau kaedah terbaik (untuk kita adakan peperiksaan akan datang).


"Ini merupakan penanda aras bagi membolehkan kita melihat bagaimana pelaksanaan peperiksaan berikutnya dan berkaitan tarikh peperiksaan itu. Pihak LPM sedang lihat dan akan diumumkan kemudian," katanya di sini, hari ini.


Terdahulu, beliau mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1 bagi meninjau perjalanan peperiksaan SPM di sekolah itu.


Beliau turut melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Bandar Puchong 1 bagi melihat operasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka melibatkan murid Tahun Satu dan Tahun Dua yang bermula 1 Mac lalu.


Bercakap kepada media, Radzi berkata, operasi peperiksaan SPM dilihat berjalan lancar dengan pematuhan terhadap SOP ketat yang ditetapkan, khususnya dari aspek penjarakan fizikal.


"Peperiksaan SPM bermula pada 22 Feb lalu dan akan berakhir 25 Mac ini. Hari ini merupakan hari terakhir untuk mata pelajaran teras dan akan disusuli dengan mata pelajaran elektif," katanya.


Ditanya mengenai soalan Kertas 2 subjek Sejarah yang dikatakan bocor, beliau berkata, LPM akan memantau secara menyeluruh berhubung isu berkenaan.


"Seperti mana pendekatan kami, biarlah pelajar fokus dengan peperiksaan masing-masing. Apa sahaja isu timbul, LPM akan pantau secara menyeluruh.


"Jadi, apa yang penting (biarlah) anak-anak dapat menduduki peperiksaan sehingga selesai. LPM sentiasa memantau apa sahaja perkara timbul dan perlu diberi perhatian," ujarnya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon