Tuesday, 16 March 2021

Mansuh pengasingan kelas wajar dikekalkan

Imej hiasan via FB Kementerian Pendidikan Malaysia


Adalah tidak tepat untuk kita mengandaikan keputusan peperiksaan dan kepintaran pelajar adalah satu hal yang sama. Walaupun keputusan peperiksaan yang baik itu penting dan seharusnya diusahakan oleh murid, tetapi mengaitkannya dengan tahap kepandaiannya bukan langkah yang betul.


Pada usia yang muda, murid seharusnya tidak perlu dirisaukan dengan keputusan peperiksaan mereka. Sebaliknya, mereka perlu dididik untuk lebih memahami apa yang dipelajari dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan.


Justeru, apabila kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), memansuhkan dasar pengasingan kelas beberapa tahun lalu dan ditegaskan sekali lagi ketika pembukaan semula sekolah secara bersemuka oleh menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin minggu lalu, ia seharusnya disambut dengan pandangan yang positif.


Pengasingan kelas yang dibuat berdasarkan prestasi akademik seperti yang ditekankan Radzi, memberi kesan psikologi terhadap kanak-kanak sekolah.


Malah sebenarnya, terlalu awal untuk melabel pelajar sekolah rendah mengikut kategori tertentu kerana pada peringkat itu mereka baru saja bermula untuk mengenali potensi diri.


Pada peringkat sekolah rendah juga, adalah tidak tepat untuk mewujudkan pandangan atau persepsi murid kelas belakang atau murid kelas hujung.


Sejak 2017, pemansuhan dasar pengasingan kelas ini kerap menjadi perbahasan antara ramai pihak sama ada pihak ibu bapa, penjaga dan pihak sekolah.


Setiap pihak mempunyai pandangan dan pendapat yang tersendiri terhadap sistem pengasingan kelas ini. Ia secara umumnya merujuk kepada sistem pengasingan dan pengelasan murid mengikut tahap penguasaan dan kecemerlangan akademik mereka dengan cara mengasingkan pelajar yang mempunyai tahap penguasaan akademik yang sama dan diletakkan dalam satu kelas yang sama.


Kita tidak boleh menyangkal, pada hakikatnya sistem pengasingan kelas ini dapat membantu guru untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran secara efektif dan cekap berdasarkan keupayaan murid dalam sesebuah kelas.


Hal ini tentu saja dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran mengikut kesesuaian dan kemampuan tahap penguasaan ilmu oleh murid berkenaan. Jadi, dari satu sudut ia dapat membantu pihak sekolah menaikkan imej dan kecemerlangan mereka dalam pencapaian akademik.


Kelebihan jangka masa panjang Namun yang demikian, sistem pengasingan kelas ini hendaklah dilihat dengan lebih mendalam terutama dari segi kesan jangka panjangnya terhadap sistem pembelajaran. Malah, apa yang lebih penting adalah kesan terhadap pelajar itu sendiri sama ada dari segi keyakinan, emosi, mental dan sahsiah diri. Ini kerana ia akan mempengaruhi minda dan motivasi mereka sebagai individu.


Pengasingan kelas akan memberi gambaran bahawa pelajar dengan keputusan peperiksaan cemerlang adalah pelajar pandai dan cerdas, manakala sebaliknya bagi murid yang tidak mencapai keputusan baik.


Menurut ahli psikologi, setiap orang dilahirkan dengan kadar IQ tertentu dan jika ia tidak dapat berubah, berkemungkinan seseorang itu tidak sanggup menghadapi cabaran dan gagal untuk mencapai potensi sepenuhnya. Sedangkan, pada hakikatnya, IQ seseorang mampu untuk berkembang.


Justeru, dari sudut positifnya memansuhkan dasar pengasingan kelas ini akan menumbuhkan persaingan sihat dan berterusan antara semua murid di dalam kelas berkenaan.


Justeru, mereka yang pandai dan cemerlang akan lebih cemerlang sementara murid yang sederhana dan lemah terdorong untuk lebih berusaha setara dengan prestasi rakan sekelas.


Ia kemudiannya akan mempengaruhi sikap dan minda mereka apatah lagi pergaulan sebagai rakan sekelas tentu saja akan merapatkan persahabatan sesama murid.


Seperti yang diketahui, prestasi pelajar boleh berubah-ubah dari masa ke semasa. 'Buddy support' atau sokongan rakan sebaya wujud dengan sendirinya bila mana murid yang pandai membimbing rakan mereka yang lemah. Budaya belajar daripada murid yang pandai dan rajin akan mempengaruhi mereka yang lemah ini. Misalnya budaya rajin membaca, mengulang kaji, selalu bertanya, berani tampil ke hadapan kelas dan menjawab soalan.


Hal ini secara perlahan-lahan akan membuang rasa kurang yakin pada diri dan membentuk sikap yang positif dalam diri murid tanpa mengira kepintaran IQ dan EQ.


Pengaruh rakan sebaya


Seperti dimaklumi umum, rakan sebaya adalah mereka yang tergolong dalam kumpulan yang sama dan mempunyai persamaan dari segi minat, nilai dan aktiviti yang dilakukan.


Sejauh mana seseorang murid bergantung kepada rakan sebaya dapat dilihat menerusi pengaruh tarikan yang ada pada diri individu itu. Sebab itu sejak dahulu datuk nenek selalu menyebut mengenai hati-hati dalam memilih kawan. Rakan sebaya begitu berpengaruh sehingga mereka sanggup menghabiskan berjam-jam masa bersama rakan sebaya.


Pencapaian yang cemerlang dalam mata pelajaran dan tingkah laku juga banyak dipengaruhi oleh rakan sebaya. Justeru, hal ini boleh juga dimanfaatkan oleh ibu bapa dengan cara mereka turut terbabit dan bekerjasama dengan ibu bapa lain. Ibu bapa murid yang cemerlang tentu saja dapat saling membantu dan berkongsi tips untuk mendorong kejayaan anak-anak yang lain.


Malah, dalam sesetengah kes terdapat ibu bapa yang mahir dalam sesuatu bidang tampil memberi tunjuk ajar kepada rakan anak mereka secara percuma menerusi perbincangan berkumpulan.


Apabila hal ini diamalkan ibu bapa murid yang kurang cemerlang dapat ikut bersama dan mengambil bahagian secara aktif dan mewujudkan suasana yang positif dalam proses pembelajaran anak.


Namun, kita juga maklum pemansuhan dasar pengasingan kelas ini tentu saja memberi cabaran yang besar kepada guru dan sekolah. Cabaran terbesar tentu saja membezakan pengajaran untuk disesuaikan bagi semua murid yang datang daripada pelbagai latar belakang akademik berbeza.


Sehubungan dengan itu, semua pihak hendaklah memberikan sokongan khas untuk murid yang kurang mahir atau murid berpencapaian tinggi. Finland sebagai contohnya, terkenal dengan sistem pendidikan khasnya, yang memberikan sokongan tambahan kepada pelajar yang mengharungi pelbagai cabaran di sekolah, termasuk masalah keluarga, atau tingkah laku dan pada masa yang sama mengekalkan pelajar ini di dalam kelas bercampur. Sokongan juga disediakan oleh guru terlatih, yang bekerja bersama guru kelas biasa.


Begitu juga halnya jika kita mengambil Kanada sebagai contoh yang menawarkan kelas bercampur dengan keperluan khas, tetapi dalam masa sama menawarkan sokongan kepada pelajar cemerlang dalam akademik.


Sokongan itu diberikan dalam bentuk mewujudkan program yang mana sebahagian daripada murid kelas berkenaan akan mengikuti kelas pembelajaran khas dalam beberapa jam setiap minggu.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon