Monday, 1 March 2021

Murid pakai baju kurung ke sekolah curi perhatian

Seorang murid prasekolah menarik perhatian ramai
apabila dia memakai baju kurung berwarna merah jambu
ketika hadir hari pertama sesi persekolahan 2021
di SK Meru Raya hari ini.


IPOH – Seorang murid prasekolah menarik perhatian ramai pada hari pertama persekolahan sesi 2021 apabila dia hadir ke sekolah memakai baju kurung berwarna merah jambu berbanding murid lain yang memakai uniform sekolah.


Murid prasekolah tersebut, Afifah Muhammad Firdaus, hadir bersama bapanya kira-kira pada pukul 7.30 pagi sebelum beratur bersama murid-murid lain untuk masuk ke kawasan sekolah.


Muhammad Firdaus Nor Alauddin, 38, berkata, dia tidak berkesempatan untuk membeli uniform sekolah untuk anak keduanya itu sebelum ini.


“Belum sempat lagi beli baju sekolah untuk dia. Saya pun sibuk dengan kerja dan kereta pula rosak. Tadi saya beritahu cikgu mungkin sehari dua ini anak saya itu akan pakai baju kurung biasa dulu.


“Dari segi emosi, dia nampaknya bersemangat nak datang ke sekolah. Dia bangun pada pukul 6 pagi tadi walaupun malam tadi tidur lewat,” katanya ketika ditemui di luar Sekolah Kebangsaan (SK) Meru Raya di sini hari ini.


Tambah Muhammad Firdaus, selepas Afifah berjumpa guru dan masuk ke dalam kelas, dia akan pulang ke rumah untuk menguruskan diri untuk melaksanakan tugasan kerja sebagai pekerja di kedai barangan perkakasan rumah.


Sementara itu, tinjauan Kosmo! di luar SK Meru Raya mendapati pergerakan ibu bapa ketika menghantar anak meraka ke sekolah berjalan lancar dan rata-ratanya mengikuti peraturan yang ditetapkan.


Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Meru Raya, Zulliana Hassan berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan guru dalam membantu persediaan untuk sesi pembelajaran di sekolah bermula hari ini.


“Kami ada menyediakan dua buah alat penapis air jenama Coway bagi memudahkan para murid minum dan mengisi botol air mereka, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang yang panas.


“Selain itu, pihak PIBG juga membeli 20 kon baru sebagai melengkapkan lagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan di sekolah,” katanya.


Katanya lagi, PIBG juga memenasihatkan ibu bapa agar berpesan kepada anak masing-masing supaya mematuhi peraturan sekolah dan SOP yang ditetapkan seperti menjaga penjarakan sosial dan menjaga keselamatan diri sendiri ketika berada di sekolah.


“Ibu bapa juga dinasihatkan agar tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya tidak sihat dan mempunyai gejala,” katanya.-K!ONLINE


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon