Tuesday, 2 March 2021

Teruskan Program Sarapan Percuma - Maszlee

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menyarankan pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP) dapat diteruskan kepada 4.79 juta murid di seluruh negara.


Katanya, saranan tersebut dapat membantu tiga golongan sasar iaitu murid, ibu bapa dan juga pengusaha kantin.


Menurut beliau, PSP akan membantu lebih daripada 2.4 juta keluarga miskin di seluruh negara yang mana sebahagiannya adalah warga M40 yang telah jatuh menjadi warga B40 akibat pandemik Covid-19.


“Menurut profesor ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Dr Barjoyai Bardai, program PSP akan memberi penjimatan sebanyak RM2.3 bilion kepada ibu bapa di seluruh negara. Ramai ibu bapa hari ini tertekan akibat perlu memberi wang saku kepada anak mereka yang bersekolah ketika pandemik Covid-19.


“PSP juga memberi kelegaan kepada 70,000 pekerja kantin yang selama ini terkesan akibat penutupan sekolah. Ini penting kerana mereka kebanyakannya hanya bergantung kepada penjualan makanan kepada murid sekolah sebagai punca pendapatan utama,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.


Beliau berkata, strategi program tersebut dapat melegakan kesengsaraan rakyat akibat pandemik Covid-19.


Tambahnya, kerajaan juga boleh memanfaatkan belanjawan yang telah diperuntukkan kepada program Rancangan Makanan Tambahan yang tidak dibelanja ekoran sekolah tidak dibuka sejak Mac 2020.


“Anggaran belanjawan yang tidak digunakan ialah RM300 juta. Jumlah ini boleh digunakan untuk PSP dan memanfaatkan sekurang-kurangnya 500 ribu murid yang memerlukan sebagai permulaan.


"Pelaksanaan PSP merupakan jalan keluar yang melegakan ketika rakyat hidup dalam kesengsaraan yang pelbagai sekali gus boleh merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing. Saya amat berharap saranan ini dipertimbangkan sewajarnya demi kemaslahatan sejagat dan rakyat terbanyak,” kata beliau lagi.


Tambah Maszlee, berdasarkan kajian, hampir 70 peratus murid tidak mengambil sarapan pagi pada hari persekolahan dan PSP akan menjadi sebuah program intervensi untuk memastikan semua murid mendapat sarapan berkhasiat sepanjang tahun tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi mereka.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon