Monday, 12 April 2021

Terlepas tangan bapa, anak lari ke tengah jalan maut dirempuh kereta

Kereta Perodua Kancil yang dipandu
seorang wanitatidak sempat mengelak
Mu'tahal yang berlari ke tengah jalan,
lalu melanggarnya. - Astro AWANI


DUNGUN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kampung Wa, di sini, malam tadi. 


Dalam insiden kira-kira jam 8.30, mangsa, Mu'tahal Assalami, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan. 


Ketika kejadian, mangsa bersama ahli keluarganya berkunjung ke sebuah restoran untuk menikmati makan malam. Menurut bapanya, Assalami Ahmad, 61 tahun, dia bersama isteri dan tujuh anaknya baru sahaja tiba di restoran tersebut dari kediaman mereka di Kampung Jerangau. 


Ketika sedang memeriksa suhu badan, pegangan tangannya terlucut, lalu anaknya terus berlari ke tengah jalan. Sejurus selepas itu, sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu seorang wanita tidak sempat mengelak lalu melanggarnya. 


"Saya sedang tulis nama, pegang anak sebelah, kemudian dia sentap tangan dan lari ke jalan, saya kejar tetapi tidak sempat. 


"Kereta itu laju, kemudian melanggar anak, dia terpelanting. Saya angkat (tubuhnya) dan lihat anak sudah tiada," katanya. 


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian. Katanya, mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan, APJ 1987.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon