Monday, 31 May 2021

Tinjauan lucah babitkan ustazah telah diturunkan


SINGAPURA: Tinjauan dalam talian menggambarkan ustazah sebagai objek seks sudah dikeluarkan dari pentas media sosial MeWe.


Pengarah pemasaran MeWe, David Westreich, berkata tinjauan terbabit, yang kini sedang disiasat oleh polis Singapura, tidak lagi dipaparkan di laman sosial berkenaan.


"Pasukan kami menyiasat perkara ini dan mendapati bahawa tinjauan itu tidak ada lagi di MeWe.


"Pengguna yang membuatnya sudah memadamkan akaun mereka sendiri, membuang tinjauan itu dan semua kandungan," katanya Westreich tanpa menyatakan bila pengguna memadamkan akaun itu.


Tinjauan dalam talian itu pertama kali didedahkan oleh Ustaz Muhammad Zahid Mohd Zin dalam catatan Instagram pada Rabu lalu.


Tinjauan itu menyenaraikan sekurang-kurangnya 12 ustazah yang dinilai mengikut daya tarikan seksual mereka, dengan 1,005 pengguna MeWe mengambil bahagian dalam tinjauan itu.


Tinjauan berkenaan juga mencadangkan melakukan keganasan seksual terhadap guru agama dalam senarai itu.


Jumaat lalu, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), berkata tinjauan itu adalah kandungan yang dilarang berdasarkan Kod Amalan Internet Singapura.


Mereka juga sudah menghubungi MeWe supaya membuang tinjauan pendapat yang menyinggung itu jika ia masih ada di laman berkenaan.


IMDA juga menghubungi media sosial lain untuk memastikan bahawa siaran seumpamanya tidak muncul dalam wadah lain.


Khamis lalu, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memaklumkan pihaknya menyedari kewujudan tinjauan itu dan sangat prihatin dengannya.


MUIS sudah pun membuat laporan polis untuk menyegerakan penyiasatan berhubung isu itu dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab. - AGENSI


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon