Saturday, 12 June 2021

Jangan biar PdPR sekadar jadi pelan kontigensi waktu pandemik - Amin Senin

12 Jun - Mantan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr. Amin Senin telah melontarkan pendapatnya mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) yang sedang dilaksanakan seluruh negara hari ini.


Melalui satu hantaran Facebook yang diberi tajuk Memperkasa Pengajaran & Pembelajaran Di Rumah (PdPR), beliau mengajak pembaca untuk melihat dari sudut pandang yang kurang diberi perhatian dan mungkin terlepas pandang.


"Persepektif jangka panjang yang memberi kesan mendasar dan menyeluruh," katanya.


Menurut beliau, pada awal pelaksanaan PdPR, ianya dilihat sebagai satu pendekatan yang berada dilandasan yang betul dalam membentuk normal baharu pembelajaran yang bakal mencorak pengalaman pembelajaran murid pasca pandemik COVID-19.


"Walau bagaimanapun dari segi pelaksanaannya, saya mula berasa PdPR cenderung difahami dan diterjemahkan sebagai pelan kontingensi untuk mengisi PdP apabila sekolah ditutup (menggantikan PdP bersemuka secara fizikal). 


"Tanggapan ini semakin kuat apabila melihat salah satu slaid yang digunakan oleh YB Menteri dalam pengumumnya baru-baru ini. Ada simbol tanda tanya (?) yang diikuti dengan ayat “Akan diumumkan sekurang-kurangnya seminggu sebelum cuti penggal persekolahan”." katanya lagi.


Pada pendapat beliau, ini seoalah-olah memberi isyarat PdPR bukan salah satu komponen utama dalam Normal Baharu Pembelajaran pasca pandemik. Pelaksanaan PdPR terikat dengan status sama ada sekolah ditutup (ada PdPR) atau sekolah dibuka (tiada PdPR). Ini menunjukkan PdPR tidak diperlukan lagi apabila pandemik sudah berlalu.


"Jika telahan saya itu betul, kemungkinan kita kehilangan peluang terbaik untuk mengubah landskap pengalaman pembelajaran persekolahan anak murid di Malaysia. 


"Kenapa saya berpendapat sedemikian? Kerana salah satu pra syarat penting dalam mengurus perubahan dalam pendidikan ialah KESEDIAAN (readiness) semua pemegang taruh untuk berubah. 


"Cabaran pandemik ini menyebabkan semua pihak bersedia dan bersetuju perubahan perlu dilakukan supaya PEMBELAJARAN murid berlaku. Walau bagaimanapun apakah naratif baharu persekolahan yang hendak kita bina dengan berbekalkan “kesediaan’ semua pemegang taruh tadi?" jelasnya lagi.


Justeru itu, beliau mempersoalkan setelah lebih setahun bergelut dengan pandemik COVID-19, apakah iktibar atau pengajaran yang diperolehi dalam mengurus pengalaman persekolahan anak-anak murid dan berdasarkan iktibar tersebut, apakah wajah baharu pengalaman pembelajaran yang hendak dibangunkan.  


Beliau turut mempersoalkan ke manakah pengalaman pembelajaran baharu tersebut dihalakan atau  dalam frasa yang lebih popular lagi ialah apakah NORMAL BAHARU [PEMBELAJARAN] pasca pandemik yang perlu diamalkan dan dibudayakan.


"Fenomena pandemik ini telah memacu pantas perubahan pendidikan ke arah memenuhi keperluan ciri-ciri PEMBELAJARAN MASA HADAPAN iaitu Pembelajaran Abad 21. 

"Kita ambil satu contoh iaitu bagaimana fenomena ini telah menonjolkan dan memberikan pencerahan tentang wajah baharu pembelajaran yang lebih berdaya maju. Tanggapan biasa yang melihat hanya bilik darjah - Ruang Fizikal (Physical Space) sahaja sebagai satu-satunya teras RUANG PEMBELAJARAN (Learning Space), telah dipecahkan," katanya lagi.

Menurut beliau lagi terdapat dua lagi ruang yang menonjolkan peranannya sebagai teras ruang pembelajaran iaitu Ruang Digital (Digital Space) dan Ruang Famili (Family Space). 

Beliau berkata lagi antara aspek yang dilihat sebagai peluang untuk memberi makna kepada NORMAL BAHARU PEMBELAJARAN iaitu mengadunkan ketiga-tiga Ruang Pembelajaran tersebut dengan bijaksana: Ruang Fizikal, Ruang Famili dan Ruang Digital untuk membentuk kerangka dan hala tuju NARATIF BAHARU PERSEKOLAHAN yang perlu dibangunkan secara berterusan sehingga pasca pandemik.

"Dalam konteks inilah saya berpendapat PdPR yang berpangkalan dalam Ruang Famili, bukan pelan kontigensi PdP tetapi salah satu komponen utama Normal Baharu Pembelajaran. 

"Oleh sebab itu pelaksanaan PdPR tidak boleh terikat dengan status buka-tutup sekolah. Maka PdPR yang dibangunkan dalam kerangka Normal Baharu Pembelajaran bukan sahaja akan mengubah corak pengurusan pengajaran-pembelajaran murid, tetapi juga mengubah dan membentuk peranan baru semua pihak - pemimpin sekolah, guru, ibu bapa dan komuniti," jelasnya lagi,

Justeru penterjemahan kerangka Normal Baharu Pembelajaran ini memberi implikasi ketara terhadap sistem persekolahan di Malaysia.  

Beliau menambah, pelaksanaannya pula pasti memerlukan perubahan dasar dan peraturan dalam pengurusan persekolahan; memerlukan pemerkasaan sokongan profesional guru yang baharu; memerlukan dana dan resos yang signifikan untuk pengurusan barisan hadapan – Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah; dan memerlukan paradigma baharu Pengurusan Pengajaran-Pembelajaran demi memacu perubahan pengalaman pembelajaran bermakna murid.

" Persoalannya, adakah kita sudah mempunyai KERANGKA NORMAL BAHARU PEMBELAJARAN yang akan menjadi AMALAN NORMAL PEMBELAJARAN pasca pandemik?" tanya beliau pada akhir penulisannya.




We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon