Wednesday, 2 June 2021

Potong elaun: Tak perlu berbalah, serang kerajaan - CUEPACS

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap semua pihak tidak menjadikan isu sumbangan elaun Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) sebagai bahan untuk menyerang kerajaan atau mencetuskan perbalahan.


Presidennya Adnan Mat berkata inisiatif itu yang sebelum ini turut dicadangkan pihaknya disambut baik oleh semua penjawat awam yang terlibat sebagai tanda kebersamaan dalam menyokong usaha kerajaan melandaikan keluk jangkitan Covid-19.


“Cuepacs percaya kebanyakan penjawat awam terlibat secara aktif dalam memberi sumbangan dan bantuan kepada golongan yang memerlukan sama ada melalui pertubuhan bukan kerajaan, pusat zakat atau secara persendirian walaupun inisiatif ini tidak dilaksanakan.


“Penjawat awam yang tidak terlibat dengan inisiatif ini juga tidak terkecuali dalam memberi sumbangan kepada rakyat dan negara sama ada melalui bentuk kewangan atau pun tenaga mereka,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.


Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini mengumumkan lebih 800,000 penjawat awam bersolidariti dalam mendepani pandemik Covid-19 dengan menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana bagi tempoh tiga bulan melalui pengurangan elaun berdasarkan gred perkhidmatan.


Mohd Zuki berkata sumbangan daripada penjawat awam terbabit yang tidak melibatkan petugas barisan hadapan serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28 itu, dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.


Penetapan sumbangan berdasarkan gred perkhidmatan itu adalah 50 peratus bagi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A ke atas, JUSA B sebanyak 20 peratus, JUSA C sebanyak 10 peratus, Gred 44 hingga 56 sebanyak lima peratus melibatkan ITK manakala RM10 daripada ITKA bagi Gred 29 hingga 41.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon