Friday, 16 July 2021

Lanjut PdPR sehingga hujung tahun


PETALING JAYA: Sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) perlu dilanjutkan sekiranya kerajaan masih belum mempunyai jalan penyelesaian kepada vaksinasi Covid-19 dalam kalangan remaja berusia 17 tahun ke bawah termasuk calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berkata, apabila kerajaan sudah membuat ketetapan, maka pihak Kementerian Pendidikan perlu mengumumkan pelanjutan PdPR sehingga hujung tahun bagi membolehkan guru dan calon SPM bersedia lebih awal.


Katanya, pelanjutan PdPR juga perlu diumum bersama sistem sokongan, bantuan dan insentif terutamanya kepada calon peperiksaan itu yang memerlukan dalam tempoh menghadapi PdPR.


“Apabila pelajar tidak boleh divaksin, sepatutnya sekolah tidak dibuka kerana kita tidak boleh menjamin keadaan sekolah itu sama ada selamat atau sebaliknya.


“Jangan umum saat akhir seperti tahun lepas kerana mengganggu psikologi pelajar. Kita maklumkan awal supaya pelajar terutamanya calon SPM dan guru lebih bersedia dalam keadaan itu.


“Paling penting, bukan hanya umumkan PdPR itu diteruskan tetapi perlu ada usaha di pihak kementerian untuk membantu terutamanya pada calon SPM,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.


Hari ini, akhbar ini melaporkan kerajaan tidak akan memberikan vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 17 tahun dan ke bawah termasuk calon peperiksaan SPM buat masa ini.


Ini berikutan vaksin tersebut didapati berisiko mencetuskan radang jantung kepada remaja peringkat umur berkenaan.


Menurut Anuar, dalam keadaan tidak mengizinkan dan kes yang semakin meningkat, semua pihak perlu mengutamakan keselamatan dan sesi persekolahan.


“Fikirkan keselamatan nyawa dahulu baru fikir hal lain,” katanya.


Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd. Azizee Hasan berkata, ibu bapa kepada murid-murid calon peperiksaan perlu diutamakan dan disegerakan suntikan vaksin secara berfasa bagi meminimumkan jangkitan wabak dalam keluarga.


“Apabila mereka yang belum divaksin ke sekolah, mereka akan lebih selamat kerana ibu bapa mereka juga sudah diimunisasikan. Ini dapat mengurangkan risiko jangkitan di samping guru-guru juga sudah menerima vaksin,” katanya.


Tambah beliau, pihaknya juga berharap agar calon SPM dapat dipertimbangkan setelah kajian terperinci barkaitan vaksin berkenaan.


“Kita setuju vaksin untuk calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diteruskan dan berharap dapat dipertimbangkan untuk calon SPM,” katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon