Tuesday, 6 July 2021

Persembahan kumpulan murid Rentak Budaya, SK Jalan 3 buktikan pandemik bukan penghalang


Keunikan persembahan daripada murid SK Jalan 3 Bandar Baru Bangi betul-betul menarik perhatian kami.

Kumpulan yang diberi nama Rentak Budaya ini mempersembahkan persembahan mereka secara berasingan dan kemudiaanya disunting oleh guru mereka menjadi satu persembahan yang sangat unik.

Siapakah anak-anak kecil yang berbakat ini?

Pasukan ini ditubuhkan pada tahun 2006 oleh Cikgu Najmi bin Zamani. Cikgu Najmi merupakan guru muzik di Sekolah Kebangsaan Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi.

Menurut beliau, pasukan ini memperjuangkan gabungan alat muzik tradisional dan moden.

"Pasukan ini telah banyak menempa kejayaan di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan peringkat antarabangsa. Kami juga mendapat sokongan yang kuat daripada Guru Besar, Puan Rozita Ahmad serta dua orang guru muzik yang berpengalaman, iaitu Cikgu Jamy Fahrul Faiz serta Cikgu Ramlan Amir Khalid," katanya.

Antara kejayaan yang dikecapi termasuklah pemenang Pingat Emas di Asean Cultural Music Festival untuk lima tahun berturut-turut bagi kategori alat muzik kontemporari pada tahun 2015 hingga 2019.

"Pasukan ini juga adalah pemenang pingat emas untuk pertandingan Karniva Bahasa, Kesenian dan Sukan serta juaga bagi pertandingan alat muzik berkumpulan pada Karnival Serlahan Potensi Peringkat Kebangsaan pada tahun 2016," katanya lagi.

Antara kejayaan cemerlang pasukan Rentak Budaya ini diperingkat antarabangsa pula adalah membuat persembahan sempena Hari Malaysia di Hotel Shangrila Jakarta, Indonesia. Persembahan tersebut adalah jemputan daripada Kedutaan Malaysia di Indonesia.

Mereka turut dijemput untuk membuat persembahan di Sekolah McPherson di Singapura dan di Sekolah Seni Bandung pada program Eksplorasi Seni Nusantara SMKN 10 di Bandung, Indonesia.


"Kami juga pernah memenangi pingat emas acara International Youth Cultural and Arts Festival (IYCAF) di Melaka pada tahun 2019 untuk mewakili Malaysia ke China pada tahun 2020 tetapi terpaksa membatalkan hasrat untuk menyertainya akibat penularan pandemik COVID-19.

"Rentak Budaya ini merupakan etos dan kebitaraan sekolah kami. Biasanya sebelum PKP, latihan akan diadakan seminggu dua kali, namun semenjak PKP ini, latihan hanya dilakukan secara dalam talian.

"Kemudian, kami buat persembahan juga secara dalam talian untuk mengubat kerinduan rakanr-rakan dan guru-guru dalam pasukan ini," katanya lagi.



We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon